PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bersetuju melantik semula secara kontrak seramai 2,683 guru lantikan kontrak (CoS) tahun 2020.
Mereka dilantik semula secara kontrak selepas tempoh lantikan mereka tamat pada 9 Jun ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, keputusan lanjutan kontrak itu dibuat selepas menerima maklum balas SPP semalam.
Beliau berkata, lanjutan kontrak itu dibuat bagi membolehkan urusan temuduga dan lantikan tetap sebagai guru di bawah SPP dapat dilaksanakan.
“Guru kontrak COS 2020 diminta jangan risau kerana SPP sudah memberi maklum balas mengenai perkara itu.
“KPM akan berikhtiar sehabis baik dalam mencari penyelesaian terbaik berhubung kedudukan kumpulan guru CoS ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(3) di sini hari ini.
Bagi status guru CoS secara one-off 2021 pula, Radzi berkata, keputusan temuduga bagi pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 sudah diumumkan oleh SPP semalam.
Katanya, calon boleh menyemak keputusan temuduga melalui portal SPP di pautan www.spp.gov.my dan urusan penempatan calon yang berjaya akan dilaksanakan oleh KPM. -KOSMO! ONLINE