fbpx
Gambar hiasan

Wanita suka laki kaya, tetapi bukan semua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MUHAMMAD FIRDAUS FAHMI JUNAIDI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Sudah menjadi impian bagi setiap manusia untuk hidup senang tanpa dibebani dengan masalah kewangan.

Seorang pakar psikologi dari Universiti Swansea, Dr. Andrew George Thomas telah menjalankan  satu kajian yang mendedahkan bahawa golongan wanita lebih suka dan tertarik kepada lelaki kaya.

Penyelidik mengimbas 1.8 juta profil aplikasi janji temu dari 24 negara dan mendapati bahawa ia sememangnya berlaku di seluruh dunia.

Lelaki yang mahu mendirikan rumah tangga akan berusaha dengan lebih keras untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada bakal isteri terma­suk wang, makanan, tempat tinggal, peralatan dan perlindungan.

Kosmo! baru-baru ini mela­porkan satu kes mengenai seorang bekas polis bantuan yang diisytiharkan bankrap gara-gara melakukan pinjaman peribadi sebanyak RM42,000 untuk melunaskan kemahuan dan permintaan teman wanitanya.

Bukan hanya diburu pengutip hutang, individu terbabit juga terpaksa hidup merempat termasuk menumpang teduh di sebuah masjid selama dua bulan selepas dihalau dari rumah sewa.

Justeru, adakah pemikiran tertarik kepada kekayaan ini menjadikan seseorang itu dianggap sebagai materialistik atau mata duitan semata-mata sehingga sanggup memudaratkan orang lain walaupun hanya bersifat sementara?

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, manusia pada asasnya mempunyai kehendak yang berkaitan dengan keperluan.

Beliau mengemukakan lima jenis keperluan yang perlu dipenuhi oleh setiap individu berdasarkan Teori Hierarki Keperluan Maslow termasuk ­fisiologi, keselamatan, sosial, penghargaan diri dan pencapaian hasrat diri.

“Apabila satu jenis keperluan dicapai, keperluan seterusnya akan menjadi keutamaan berikutnya.

“Setiap individu akan memastikan tahap keperluan terendah dipenuhi terlebih dahulu sebelum berusaha mencapai tahap keperluan yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun, keperluan ini tidak semestinya mendesak manusia untuk lebih tertarik kepada kekayaan. Jika kehendak me­ngatasi keperluan, maka ia boleh dikategorikan sebagai ‘mata duitan’,” ujarnya.

Jelas beliau, perkara sedemi­kian akan berlaku apabila seseorang individu sanggup mengejar sesuatu demi kepuasan diri walaupun bersifat sementara atau tidak tetap.

Katanya, jika kehendak dan tarikan itu melampaui batas, maka ia tidak harmoni untuk dirinya dan orang lain.

“Namun, jika ia masih berteraskan kepada realiti dan berkaitan keperluan yang wajib mengikut arus pemodenan hari ini, maka tidak wajar untuk dikatakan mata duitan.

“Dewasa ini, kita semakin sedar bahawa prestasi diri dan perkembangan hidup seseorang itu adalah dipertanggungjawabkan atas diri sendiri.

“Maka setiap orang berhak untuk mencipta apa sahaja impian selagi tidak memudaratkan seluruh kehidupan orang lain,” katanya.

Ulas beliau, jika seseorang mempunyai impian, maka teruskan berusaha mencipta sesuatu yang luar biasa. Namun, jika impian itu menjerat diri dalam definisi kebahagiaan yang penuh materialistik, maka individu berkenaan mungkin silap dalam memberi definisi bahagia.

 

 

POPULAR