fbpx

Pendapatan bersih Petron RM106 juta suku pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (Petron) mencatat prestasi kewangan kukuh pada suku pertama 2022 dengan melaporkan pendapatan bersih sebanyak RM106 juta bagi tempoh tersebut, mengatasi RM103 juta pada suku pertama tahun sebelumnya.

Kumpulan juga mencatat jumlah jualan yang ketara dengan peningkatan sebanyak 13 peratus kepada 7.7 juta tong bagi suku tersebut berbanding 6.8 juta tong pada tahun lepas.

Pengerusi Petron, Ramon S. Ang berkata, dengan peningkatan permintaan domestik dan kenaikan harga minyak global yang berterusan, hasil tiga bulan pertama tahun ini mencapai hampir dua kali ganda kepada RM3.8 bilion berbanding RM2 bilion yang dicatat untuk tempoh yang sama pada 2021.

Selain itu, Kumpulan juga mencatat penjimatan kos sepenuhnya serta kecekapan operasi setelah Diesel Hydrotreater dan Marine Import Facilities 2 telah siap sepenuhnya.

Pendapatan operasi bagi suku ini berjumlah RM 189 juta, 38 peratus lebih tinggi daripada RM137 juta tahun lepas.

Sementara itu, caj bukan operasi meningkat dalam anggaran 53 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh peruntukan sementara mark-to-market bagi melindungi nilai komoditi.

“Kami yakin Petron Malaysia dapat mengekalkan momentum kukuhnya di samping pemulihan ekonomi negara yang berterusan.

“Walaupun terdapat risiko yang timbul disebabkan oleh harga minyak global yang tidak menentu, asas perniagaan kami dan langkah pengurusan risiko yang berhemat kekal kukuh.

“Ini adalah penting dalam membantu kami mengharungi persekitaran yang mencabar sambil memastikan kami berada di landasan pemulihan dan pertumbuhan yang lengkap,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Tambah beliau, pihaknya akan memacu lebih banyak inisiatif ke arah daya tahanan dan pertumbuhan yang mampan untuk menyumbang kepada kemajuan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar, pembangunan sosial dan tadbir urus yang baik. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN