fbpx
NOR HIDAYAH (kanan) dan suami, Mat Sharmaiyzu menunjukkan hidangan roti tempayan yang terdapat di Restoran Kassim Baba Roti Tempayan Cheese Kuantan baru-baru ini.

Tarikan roti tempayan keju kuah kambing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAU aroma roti bersama keju yang dibakar dalam tempayan menggunakan dapur arang ternyata membangkitkan selera.

Dimakan pula panas-panas dan dicicah gulai kambing membuatkan mereka yang merasai hidangan istimewa itu terkesima sekejap dengan keunikan rasanya yang enak.

Dikenali sebagai roti tempayan, kini menu tersebut semakin mendapat tempat dan diminati pelbagai golongan masyarakat kerana ia boleh diolah mengikut cita rasa tersendiri.

Pelbagai jenis roti tempayan yang digabungkan dengan variasi rasa tempatan, Barat dan sebagai pemanis mulut itu boleh didapati di Restoran Kassim Baba Roti Tempayan Cheese di Kuantan, Pahang.

Restoran yang diusahakan oleh pasangan suami isteri Nor Hidayah Md. Jedi, 35, dan Mat Sharmaiyzu Mat Lazim, 39, itu mula beroperasi sejak Julai 2019 dan antara yang terawal mempelopori hidangan berasaskan roti tempayan.

Nor Hidayah berkata, kesukaran mendapatkan roti tempayan versi Melayu yang sedap dan sesuai dengan selera masyarakat tempatan menjadi inspirasi kepadanya untuk mengolah resipi yang mendapat suntikan elemen masakan Melayu tradisional.

“Alhamdulillah, pelanggan yang datang suka dengan masakan di sini. Keistimewaan kami ialah roti tempayan dimakan dengan gulai kambing, gulai ayam, gulai daging cincang dan sambal bilis.

“Selain itu, kita juga menyediakan piihan lain seperti kuah dal, kambing masala dan ayam tandoori,” katanya ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.

MENGEKALKAN cara masakan tradisional menggunakan dapur arang menjadikan roti tempayan ini lebih lembut dan sedap.

Menurutnya, menu signatur di restoran berkenaan ialah roti tempayan keju bersama gulai kambing yang dijual pada harga RM19 untuk hidangan antara dua hingga tiga orang.

“Roti tempayan keju dan gulai kambing antara yang paling laris. Selain itu, kita juga mempunyai menu pilihan kanak-kanak dan sebagai pemanis mulut iaitu roti tempayan Nutella.

“Menu unik yang tidak boleh didapati di tempat lain pula ialah roti tempayan berintikan keledek daging keju yang lain daripada lain,” katanya yang memberitahu, isi roti tersebut sangat padat.

Ujar Nor Hidayah, restorannya masih mengekalkan cara masakan tradisonal menggunakan dapur arang yang memberikan aroma lebih kuat, selain rasa lebih sedap.

PELANGGAN suka dengan masakan dan persekitaran di restoran itu yang sesuai untuk keluarga.

“Kebanyakan pelanggan kami bukan sahaja dari Kuantan, malah dari luar termasuk Lembah Klang, Terengganu, Kelantan dan Johor yang ingin merasai keunikan roti tempayan di sini.

“Ramai yang akan datang lagi selepas sekali mencuba. Antara maklum balas pelanggan tentang hidangan tersebut adalah rotinya lembut dan saiz hidangan sesuai dengan harga.

“Malah, mereka suka dengan persekitaran restoran berkonsepkan family oriented (sesuai untuk keluarga) yang mana dekorasi kedai menggunakan bahan-bahan buangan,” katanya.

Nor Hidayah, memberitahu, beliau dan suami mempelajari cara membuat roti tempayan dan gulai kambing istimewa itu daripada kenalan mereka yang mempunyai kepakaran dalam masakan tersebut.

Tambahnya, selain di Kuantan, Restoran Kassim Baba Roti Tempayan Cheese turut mempunyai cawangan di Denai Alam, Shah Alam, Selangor.

“Kami kini dalam perancangan untuk membuka sebuah lagi cawangan restoran di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan pada bulan depan,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN