fbpx

Penganggur samun telefon ejen insurans di penjara 24 bulan, satu sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Kuala Pilah

KUALA PILAH – Baru sahaja tiga hari menyamun ejen insurans, seorang penganggur mendapat habuan hukuman penjara 24 bulan dan satu sebatan di Mahkamah Majistret Sesyen Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohamad Ali Zainal, 36, yang berasal dari Raub, Pahang, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada 23 Mei lalu kira-kira pukul 5.30 petang, dalam keadaan agresif serta tidak berbaju telah masuk ke dalam premis insurans di Jalan Gurney, Bahau lalu mengambil telefon bimbit jenis IPhone 12 Pro, warna kuning emas milik mangsa iaitu wanita berusia 41 tahun yang diletakkan di atas meja kaunter premis tersebut dan terus melarikan diri.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Norma kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan dan satu sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, ketika kejadian samun itu, penganggur tersebut menyatakan dirinya sakit serta mempunyai HIV sambil cuba mendekati kaunter.

“Ini menyebabkan mangsa dan rakan mangsa meninggalkan barang peribadi dan berlari ke arah belakang kawasan kaunter. Kejadian berkenaan dirakam dalam televisyen litar tertutup (CCTV).

“Penganggur berkenaan didapati mempunyai 12 rekod lampau iaitu lapan rekod dadah, tiga rekod jenayah dan satu kompaun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN