fbpx

Kadar kelahiran di AS meningkat kali pertama sejak 2014

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kadar kelahiran di AS pada 2021 meningkat satu peratus sejak trend penurunan bermula tahun 2014. - Getty Images

WASHINGTON – Kadar kelahiran di Amerika Syarikat (AS) pada 2021 meningkat satu peratus berbanding tahun sebelumnya, kenaikan pertama yang dicatatkan sejak 2014, lapor agensi berita United Press International, kelmarin.

Data sementara Pusat Kawalan Penyakit (CDC) untuk 2021 itu menunjukkan bahawa 3.66 juta bayi telah dilahirkan dengan kadar kesuburan umum adalah 56.6 kelahiran bagi setiap 1,000 wanita berumur 15 hingga 44 tahun.

Kedua-dua angka itu mewakili peningkatan satu peratus berbanding 2020 yang menyaksikan penurunan empat peratus daripada 2019. Ia adalah penurunan terbesar dalam tempoh hampir lima dekad.

Bilangan kelahiran tahunan di AS bagaimanapun tidak kembali meningkat ke tahap prapandemik.

Pada 2019, sebanyak 3.75 juta kelahiran direkodkan, manakala terdapat 3.79 juta kelahiran dicatatkan pada 2018.

Data CDC menunjukkan kadar kelahiran telah menurun kira-kira dua peratus setiap tahun sejak peningkatan terakhir direkodkan pada 2014.

Pengarah Program Biro Rujukan Populasi, Beth Jarosz berkata, peningkatan pada 2021 tidak semestinya bermakna trend penurunan itu telah berakhir.

“Saya sentiasa agak ragu-ragu dengan data yang dikumpul bagi satu tahun sahaja. Namun dalam kes ini, saya benar-benar perlu melihat apa yang berlaku pada 2022 untuk cuba mencadangkan bahawa ia adalah sememangnya sejenis trend pemulihan atau aliran,” kata Jarosz.

Mengikut umur, kadar kelahiran ialah 14.4 kelahiran bagi setiap 1,000 remaja, turun enam peratus daripada 2020 dan 65 peratus sejak 2007. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI