fbpx

JAIP wujud pusat pelupusan al-Quran di setiap daerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zakaria (kanan) bersama Zulhelmy (dua dari kanan) ketika melakukan pelupusan abu al-Quran di Laut China Selatan dekat Kuantan hari ini.

KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan mewujudkan pusat pelupusan al-Quran di setiap daerah di negeri ini bagi melancarkan dan memudahkan proses pelupusan ayat-ayat suci al-Quran.

Timbalan Pengarah Jaip, Datuk Zakaria Mohamed berkata, pusat pelupusan al-Quran menggunakan teknologi khas itu akan dibina dalam masa terdekat.

“Pada masa ini JAIP memiliki dua buah pusat pelupusan al-Quran di daerah Pekan dan Jerantut menggunakan teknologi dan kepakaran khas untuk memproses abu al-Quran.

“Di Temin, Jerantut kepakaran dan teknologi relau digunakan diimport dari Jepun dengan kos kira-kira RM38,000,” katanya dalam satu sidang akhbar pada majlis pelupusan abu al-Quran dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Palima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain.

Menurut Zakaria, mana-mana individu yang mahu melupuskan al-Quran boleh berhubung dengan pejabat Agama Islam daerah masing-masing untuk tujuan pengumpulan sebelum dilupuskan.

Jelasnya al-Quran perlu dilupuskan dengan cara tertentu berpandukan rujukan-rujukan dalam Islam yang mana ia perlu dihantar kepada pihak pejabat agama Islam daerah yang akan mengumpul al-Quran sebelum dihantar ke pusat pelupusan.

Sementara itu beliau berkata, sebanyak enam tan abu al-Quran dilupuskan di Laut Cina Selatan pada kedudukan kira-kira 10 batu nautika dari persisiran pantai pangkalan TLDM Tanjung Gelang hari ini.

“Jumlah kali ini paling tinggi mengambil kira al-Quran yang musnah akibat kejadian banjir yang kebanyakannya datang dari daerah yang terjejas teruk iaitu dari Bentong dan Temerloh.

“Seperti ramai sedia maklum, dua kali banjir melanda daerah Bentong secara mengejut dan mangsa tidak sempat menyelamatkan al-Quran, jadi ia perlu ‘diselamatkan’ dengan cara baik dan salah satunya adalah dengan pelupusan abu al-Quran di laut,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI