fbpx
DUA anak muda di Kampung Sungai Tengi Kanan, Tanjong Karang memerhati dron-dron yang diterbangkan mereka di atas petak sawah untuk melakukan kerja-kerja pertanian seperti menyembur racun dan membaja.

Seperti diupah bermain video game di sawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DEWASA ini, dron bukan sahaja digunakan dalam teknologi pengintipan, pengawasan dan fotografi, malah dalam bidang pertahanan dengan kemampuan membawa senjata pemusnah seperti bom dan senjata kimia, selain digunakan dalam pertanian.

Sebagai sebuah negara pertanian, rakyat Malaysia yang terkenal dengan kreativiti tinggi telah menjadikan dron iaitu pesawat udara kawalan jauh tanpa dinaiki juruterbang itu sebagai pengangkutan bagi kerja-kerja pertanian persis pesawat penyembur racun ladang gandum di Amerika Syarikat.

Seorang pengusaha dron komersial dari Kampung Sungai Tengi Kanan, Tanjong Karang, Selangor, Khairul Anuar Abdullah, 35, komited untuk menjadikan tugasan mengoperasikan dron secara komersial di sawah sebagai kerjaya baharu bagi belia di kawasan tersebut.

Sememangnya Tanjong Karang dikenali sebagai salah satu kawasan penanaman padi di Selangor.

“Sasaran saya adalah golongan anak muda yang fanatik kepada penggunaan joystick atau gajet canggih untuk dijadikan pilot atau penerbang dron.

“Saya ingin mereka terlibat dengan perkara berfaedah iaitu bekerja menggunakan teknologi terkini seperti khidmat dron bagi menjana sumber pendapatan,” katanya ketika ditemui K2 di kampung itu baru-baru ini.

KHAIRUL ANUAR (dua dari kanan) bersama beberapa anak muda yang diambil bekerja sebagai penerbang dron di sekitar sawah di Kampung Sungai Tengi Kanan, Tanjong Karang.

Memiliki dron pelbagai saiz dan merupakan pemilik Drone Eco Enterprise, Khairul Anuar berkata, dia sendiri telah memulakan kerja menyembur racun menggunakan dron di sekitar petak sawah padi milik petani di Tanjong Karang dan Sekinchan sejak Mac 2020 apabila dunia dilanda pandemik Covid-19.

Katanya, dia menggunakan dron jenis EFT pelbagai kapasiti tangki meliputi 10 liter, 12 liter, 15 liter, 25 liter hingga 30 liter bernilai RM35,000 ke atas yang mampu menjimatkan tenaga manusia dan paling utama mengurangkan risiko kesihatan.

“Jika menggunakan tenaga manusia untuk proses menyembur racun, semai baja mahupun benih padi boleh mengambil masa selama lebih sejam untuk keluasan satu petak sawah padi iaitu kira-kira 0.6 hektar.

“Sebaliknya, jika menggunakan teknologi dron, hanya memakan masa selama 10 hingga 15 minit. Justeru tenaga anak-anak muda amat sesuai untuk melakukan kerja dalam cuaca panas di tengah kawasan lapang ini,” katanya.

Jelas bapa kepada tiga orang anak perempuan itu, penggunaan dron dapat mengurangkan risiko kesihatan kepada pesawah yang sebelum ini terdedah dengan racun yang digunakan secara langsung dan boleh mendatangkan masalah kulit, mata dan sebagainya.

“Kita hanya perlu memasukkan racun ke dalam tangki 15 liter atau lain-lain saiz, kemudian dron akan bancuh sendiri. Kerja-kerja selebihnya juga akan dilakukan oleh dron,” katanya.

Khairul Anuar yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang elektrik dan elektronik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, sebelum memulakan aktiviti menyembur racun, baja mahupun benih padi, anak-anak muda yang menjadi pekerjanya akan membuat pemetaan (mapping) petak sawah terlebih dahulu.

ANAK-ANAK muda diberi kepercayaan mengendalikan dron bernilai puluhan ribu ringgit.

Mapping dilakukan untuk memastikan penyemburan oleh dron dilakukan dalam lingkungan kawasan yang tepat.

“Kerja-kerja meracun pula melibatkan penggunaan sejumlah racun dengan masa penyemburan dilakukan secara automatik menggunakan kemudahan internet jaringan tanpa wayar (WiFi) dan hotspot pada telefon pintar,” katanya.

Mengenai cabaran mengendalikan dron di sawah, Khairul Anuar berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu atau hujan lebat boleh merencatkan kerja penyemburan kerana dikhuatiri akan merosakkan sistem elektronik dron sekiranya terkena air.

Selain itu, katanya, kewujudan banyak pokok besar mahupun tiang elektrik pada sesuatu petak sawah, selain keadaan awan yang tebal turut berupaya mengganggu sensor dron.

“Ini memaksa kita melakukan semburan secara manual bagi memastikan kesemua kawasan petak sawah mendapat semburan racun, baja dan benih dengan sekata,” katanya.

PEMANDANGAN indah ketika dron-dron ‘bertugas’ di atas petak-petak sawah.

Kongsi Khairul Anuar, selain memberi perkhidmatan dron untuk membaja dan meracun sawah padi, pihaknya juga membaja dan meracun untuk ladang kelapa sawit, pisang dan lain-lain.

Bahkan, Khairul Anuar juga mendapat permintaan meracun ladang hingga ke Morib, Banting dan sekitar negeri Pahang.

Menurut seorang anak muda kampung yang diambil bekerja sebagai penerbang dron di sawah, Mohd. Ali Amri, 21, kerjaya tersebut disifatkan canggih dan futuristik. Mohd. Ali bahkan menganggap kerjanya seperti dibayar untuk bermain permainan video (video game).

“Saya dapat menguasai pengendalian dron dalam masa sebulan sahaja. Selepas tiga bulan, saya jadi betul-betul mahir mengoperasikannya.

“Sepanjang mengendalikan dron, banyak juga pengalaman mencabar yang saya lalui. Apapun pengalaman ini membuatkan saya bercita-cita untuk mewujudkan syarikat pengendali dron sendiri satu hari nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN