fbpx

NSL kembali takluk gelanggang bermula 3 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAINGAN NSL akan berlangsung selama empat minggu di Stadium Juara bermula 3 hingga 26 Jun ini. - AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Saingan Netball Super League (NSL) 2022 dilancarkan secara rasmi hari ini menyaksikan lapan pasukan bersaing merebut kejuaraan edisi kedua yang akan membuka tirainya bermula 3 hingga 26 Jun ini.

Lapan pasukan yang akan berentap di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu nanti adalah juara bertahan, KL Wildcats, Johor Jewels, Selangor Angels, Perak Phoenix, Kedah Sunshine, Negeri Sembilan Venom, Pahang Tulips dan Melaka Mystic.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker menganggap saingan NSL adalah platform terbaik untuk menggilap bakat-bakat muda yang berpotensi diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan kelak.

“NSL telah memberi nafas baharu dalam mendorong serta meningkatkan mutu sukan bola jaring di kalangan wanita supaya lebih berketerampilan dan berdaya saing.

“Liga berkualiti seperti ini bukan sahaja mengilap bakat pemain tetapi meniup kembali semangat golongan wanita, malah berperanan meningkatkan kepimpinan wanita dalam sukan.

“Ia menjadi platform terbaik untuk program pencarian dan pembangunan bakat di setiap negeri dengan menarik lebih ramai generasi muda merasai pengalaman beraksi dalam liga profesional seperti NSL,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu hadir merasmikan saingan NSL musim kedua anjuran Astro Arena dan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PJBM) di Studio 1, Astro Bukit Jalil di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia, Alwiyah Talib, wakil-wakil penaja serta kapten daripada semua lapan pasukan bertanding.

Saingan edisi kedua kali ini juga menyaksikan Kosmo! kekal sebagai rakan media rasmi dengan memberikan liputan menyeluruh sepanjang empat minggu kejohanan tersebut.

Buat julung kalinya juga applikasi penstriman popular, sooka tampil menjadi penaja utama rasmi selain tajaan-tajaan lain daripada jenama pakaian temapatan, Kaki Jersi, syarikat kudapan tempatan, KrupKrap Malaysia dan Era pula sebagai Radio Rasmi NSL 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI