fbpx

Lelaki maut ditembak dari jarak dekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki maut ditembak di hadapan sebuah restoran di Jalan Kampung Baru, Sungai Petani hari ini.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia 36 tahun maut selepas ditembak sekumpulan suspek bermotosikal dari jarak dekat di kawasan letak kereta berhadapan sebuah restoran di Jalan Kampung Baru di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa maut di lokasi kejadian akibat ditembak dengan kira-kira lapan das tembakan pada badan dan muka.

Mangsa ditembak ketika mahu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire selepas makan di restoran berdekatan.

Ketika kejadian, isteri dan anak serta seorang rakan mangsa masih berada di dalam restoran.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, mangsa sebelum kejadian sedang makan tengah hari di restoran berkenaan bersama isteri dan anak lelaki berusia lima tahun serta seorang rakannya.

“Mangsa dikatakan tiba-tiba keluar dari restoran itu dan menuju ke kenderaannya yang diletakkan di hadapan restoran.

“Dia kemudian dihampiri empat suspek menaiki dua motosikal yang terus bertindak melepaskan tembakan terhadap mangsa pada jarak dekat iaitu kira-kira satu meter,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Katanya, empat suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh itu terus melarikan diri.

“Siasatan di lokasi kejadian menemui sebanyak lapan kelongsong peluru,” ujarnya.

Menurut Wan Hassan semakan mendapati mangsa yang tinggal di Bedong itu mempunyai rekod berkaitan gangsterism dan jenayah terancang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kita masih menyiasat lanjut berhubung motif sebenar kejadian termasuk sama ada mempunyai kaitan dengan kongsi gelap atau dadah,” ujarnya.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sutan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI