fbpx

Tudung bermotif lukisan pelukis tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamparan motif lukisan menarik yang dijadikan sebagai tudung

KARYA lukisan daripada pelukis-pelukis tempatan lazimnya akan dibingkaikan dan menjadi produk perhiasan di ruang kediaman.

Namun, hasil karya sedemikian tidak seharusnya terhad sebagai produk hiasan di rumah malah ia boleh diterjemah menerusi produk fesyen yang seterusnya boleh digayakan pengguna.

Seorang anak tempatan yang merupakan bekas graduan kejuruteraan mekanikal dari United Kingdom kemudian mendapat idea untuk mengubah lukisan anak tempatan menjadi produk fesyen dengan menubuhkan sebuah ruang jualan atau market place secara atas talian dikenali sebagai Belhams.

Muhammad Faiz Khalid, 33, berkata idea untuk menubuhkan Belhams diinspirasikan daripada beberapa ruang jualan serupa dari luar negara seperti SpoonFlower.com dan juga Zazzle.com yang seterusnya dibawa ke negara ini.

“Belhams pada asalnya ditubuhkan pada September 2021 sebagai satu medium yang menghubungkan antara pelukis dan juga individu kreatif dengan pembeli.

“Menerusi Belhams, kami menghasilkan produk seperti tudung, kemeja-T dan juga beg tote dengan cetakan hasil daripada lukisan pelukis-pelukis tersebut untuk digayakan oleh pembeli,” ujarnya. 

Menerusi tagline Design by You, Lah!, Faiz mempertaruhkan pelbagai produk fesyen dengan cetakan hasil karya pelukis berbakat yang boleh dipilih pelanggan.

Menerusi seleksi tudung Belhams yang merupakan produk paling mendapat sambutan di ruang jualan itu, Faiz menawarkan jenis selendang dan tudung segi empat sama atau bawal untuk dipilih pelanggan.

Hamparan hasil karya pelukis yang sudah sememangnya mengagumkan yang seterusnya boleh digayakan pemakai menjadikan koleksi tudung Belhams unik serta mempunyai pesonanya yang tersendiri.

Karya lukisan sama ada pemandangan, abstrak atau motif flora mendominasi pilihan corak produk Belhams memandangkan sifatnya yang relevan.

Bercakap mengenai pemilihan material tudung pula, Faiz memberitahu dia menggunakan pelbagai material seperti sutera satin, baldu satin dan juga kain kapas.

“Pemilihan material tudung penting kerana kami perlu memastikan ia selesa, ringan dan mudah dibentuk.

“Pihak Belhams juga akan membantu pelukis memilih material jenis apa yang akan menonjolkan lagi karya seni yang dihasilkan.

“Material sutera satin dan baldu satin misalnya lebih sesuai untuk karya seni yang lebih ‘berat’ atau bersifat penuh memandangkan ia akan memberikan nilai eksklusif kepada produk akhir,” jelas Faiz.

Secara peribadi, Faiz berkata dia cukup menggemari koleksi lukisan pelukis tempatan yang cukup berbakat iaitu Baiti Fauzi yang juga merupakan koleksi paling laris di platform jualan itu.

Selain Baiti Fauzi, Faiz juga menyukai koleksi daripada Bunga dan Bintang yang disifatkan sebagai mempunyai konsep seni yang asli.

Akui Faiz, pada mulanya, dia berdepan cabaran untuk meyakinkan pelukis tempatan untuk turut serta dalam Belhams.

“Cabarannya adalah untuk meyakinkan pelukis ini bahawa kerjasama dengan Belhams bermaksud mereka hanya perlu menumpukan dan menyerlahkan lagi sisi kreatif menerusi penghasilan karya seni, dan proses seterusnya itu akan diuruskan pihak saya,” ujarnya.

Biarpun belum setahun penubuhannya, Belhams sehingga kini sudah pun bekerjasama dengan kira-kira 80 pelukis tempatan yang menghantar karya mereka kepada Belhams.

Malah, Faiz juga turut bekerjasama dan menerima penyertaan daripada 10 pelukis dari luar negara seperti Kanada, India, Belgium dan juga Belanda.

Setiap koleksi Belhams berharga antara RM49 sehingga RM149 dan 40 peratus daripada hasil jualan akan diberikan kepada pelukis.

Layari www.belhams.com untuk maklumat lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI