fbpx

Sijil perbankan, kewangan Islam KUIS diiktiraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PADMA PRIYA merupakan pelajar bukan islam yang menyertai kursus tersebut.

DALAM mengukuhkan pencapaian Malaysia sebagai peneraju pembangunan bakat dalam kewangan Islam, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) menawarkan kursus Sijil Syariah Perbankan dan Kewangan.

Ia dibuat menerusi Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF) yang merupakan pusat penyelidikan antarabangsa di KUIS yang memfokuskan kepada bidang ekonomi dan kewangan Islam.

Salah satu hasil kajian IRCIEF ialah model Sadaqa House diangkat sebagai salah satu perkhidmatan perbankan Bank Islam Malaysia Berhad pada 2018, yang mana orang awam boleh menderma kepada projek pembiayaan sosial yang dikenal pasti.

Kursus jangka pendek itu dijalankan selama dua bulan dengan tenaga pengajar terdiri daripada pakar-pakar industri kewangan dan perbankan di negara ini.

Sehingga kini, empat kohort telah dilaksanakan dengan penyertaan lebih 100 orang terdiri daripada pensyarah, golongan profesional, pelajar, jurutera dan konsultan dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Menurut Ketua Eksekutif KUIS, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah, kewangan Islam berada pada kedudukan yang amat baik dalam menyediakan penyelesaian yang berasaskan nilai.

Ini katanya, memandangkan nilai intrinsik maqasid syariah yang bertujuan untuk mencapai kebaikan dalam usaha mengelakkan sebarang kerosakan pada sistem itu sendiri.

Ujarnya, kewangan Islam mempunyai peluang besar untuk mempromosikan kelestarian penyelesaian bagi pemulihan ketika pasca-pandemik pada masa sekarang.

“Ini dilakukan dengan meletakkan nilai dan kemampanan pertimbangan sebagai asas di tengah-tengah pelan pemulihan ekonomi menerusi penyerapan idea-idea yang lebih bernas ke dalam konteks kewangan pada masa kini

“Dalam hal ini, anjakan agresif dalam pemikiran berasaskan nilai sebagai asas untuk semua keputusan perniagaan dan komersial mungkin boleh berlaku.

“Ia sekali gus menggalakkan penggabungan nilai syariah ke dalam produk kewangan dengan teratur dalam menghasilkan keputusan yang lebih memberangsangkan,” katanya.

Seramai 35 pelajar menerima Sijil Syariah Perbankan dan Kewangan islam yang diadakan di KUIS, Kajang baru-baru ini.
– Foto AHZAR
AZAHAM KUIS

Beliau berkata demikian pada majlis Graduasi Sijil Syariah Perbankan dan Kewangan (CFBF) yang kedua di KUIS, Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Kata Dr. Mohd. Farid Ravi, beliau berbangga atas kejayaan penyempurnaan kursus singkat tersebut.

Pada majlis itu, seorang pelajar bukan Islam iaitu juruaudit di Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Padma Priya Venu Gopal, 44, turut menerima anugerah Anugerah IRCIEF atas kejayaan menyempurnakan 11 modul dalam Sijil Syariah Perbankan dan Kewangan Islam.

Ia diakreditasi oleh Agensi Kelayakan Kewangan atau Finance Accreditation Agency (FAA) iaitu sebuah badan akreditasi diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Dalam majlis tersebut, seramai 35 peserta menerima Sijil Syariah Perbankan dan Kewangan Islam yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah KUIS, Datuk Salehuddin Saidin.

Sebanyak 11 peserta lain turut menyertai majlis tersebut secara dalam talian.

Turut hadir pada majlis berkenaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FAA, Khairul Nizam Md. Som serta pengurusan tertinggi KUIS.

Selain Anugerah IRCIEF, enam peserta lain turut menerima Hadiah Peserta Terbaik yang dipilih daripada dua kohort kursus yang telah dilaksanakan pada tahun 2021.

Keenam-enam peserta tersebut dipilih berdasarkan jumlah markah purata tertinggi untuk semua modul yang disertai mereka.

Melalui Sijil Syariah Perbankan dan Kewangan Islam ini, para peserta didedahkan kepada ilmu asas syariah yang diaplikasikan dalam institusi perbankan dan kewangan Islam terutamanya di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI