fbpx
ORANG ramai bergambar di mural rumahkayu di Kampung Raja Barang, Chendering, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Lukisan mural rumahkayu imbau nostalgia indah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBUNGA girang hati ini tatkala melihat suasana perkampungan Melayu sekitar era 80-an di Kampung Raja Barang Chendering, Kuala Terengganu. Pemandangan rumah kayu dengan tempayan air di atas tangga yang indah mengimbau kembali nostalgia lama ketika zaman kanak-kanak.

Melihat dari jauh, rumah kayu tersebut mungkin kelihatan asli tidak ubah seperti rumah kayu sebenar yang didiami nenek moyang terdahulu. Realitinya ia hanyalah dinding sebuah kedai milik Mohd. Rozamil Mohd. Yatim, 37, yang dilukis mural pemandangan suasana kampung. Mural itu dikenali sebagai rumahkayu.

Sentuhan tangannya begitu halus dan beliau bahkan berjaya menggarap kesemua elemen yang diperlukan dengan begitu sempurna. Kesemua itu dilakukannya bagi menyambut kedatangan Syawal awal Mei lalu.

Biarpun begitu, mural tersebut masih lagi menjadi antara tumpuan umum, terutamanya dalam kalangan pelancong sehingga ke hari ini.

Menurut pemuda anak kelahiran Seberang Takir, Kuala Terengganu itu, biasanya kedatangan Syawal diraikan dengan persiapan rapi yang mana masyarakat akan menghias rumah dan mengecat. Bagaimanapun, berbeza pula baginya, apabila menggunakan bakat kurniaan Ilahi yang dimilikinya untuk menghasilkan mural suasana kampung di kedai miliknya.

“Sebelum ini, ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya pernah menghasilkan sebuah mural dan ia menjadi tular.

“Memandangkan dua tahun kita tidak dapat beraya secara normal, jadi untuk tahun ini, saya mendapat idea untuk menambahkan lukisan pada dinding untuk meraikan kemeriahan Aidilfitri.

“Tambahan pula ramai anak-anak perantau pulang ke kampung halaman, jadi saya mahu mewujudkan suasana kampung terutamanya di era 80-an kepada mereka,” katanya memulakan bicara,

SELEPAS karya rumahkayu tular di media sosial, Zameer mula mendapat tempahan daripada pelbagai pihak yang mahukan lukisan sama dilukis di premis milik mereka.

Tular di laman sosial sejak penghujung Ramadan, mural tersebut menjadi antara lokasi kunjungan orang ramai sekitar Kuala Terengganu yang mahu bergambar di pagi Hari Raya Aidilfitri di mural yang dipanggil rumahkayu itu.

Tidak ubah seperti suasana sebenar, ternyata pemuda yang mesra dipanggil Zameer ini boleh dikatakan bertuah kerana dikurniakan bakat luar biasa. Manakan tidak, bapa kepada dua orang cahaya mata itu tidak pernah mengikuti mana-mana jurusan berkaitan seni lukis.

Sebaliknya, kesemuanya hanya bersandarkan bakat dan minat semata-mata, selain ditambah dengan perasaan ingin mencuba.

“Tiada seorang pun dalam ahli keluarga saya menjadi pelukis.

“Bahkan saya hanyalah berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia. Bagaimanapun, ketika di bangku sekolah saya memang memasuki kelab dan persatuan seni lukis, selain memasuki pertandingan melukis.

“Pun begitu, saya mula didedahkan dengan lukisan mural ini sejak darjah enam. Ketika itu saya ada membuat mural di dinding sekolah dan di situlah bermulanya kisah saya dengan mural dinding,” tambahnya.

LUKISAN mural ini menjadi tarikan masyarakat untuk mengimbau kenangan semasa kecil.

Menubuhkan Zameer Pentbrush pada tahun 2005, perniagaan tersebut hanya menumpukan kepada kerja-kerja lukisan pada kenderaan sahaja. Bagaimanapun, dek kerana mahu bereksperimentasi dan berkongsi bakat yang dimiliki, Zameer kemudian melukis mural dinding kedainya.

“Apabila melihat reaksi daripada orang ramai sebaik mural ini siap dihasilkan, membuatkan saya terkejut.

“Tahun ini memang benar-benar meriah.

“Ramai yang bertanyakan lokasi kerana mahu merakamkan gambar dan melihat karya rumahkayu secara live.

“Saya memang tidak menyangka mural rumah kayu ini mendapat reaksi positif daripada pelbagai lapisan umur dan masyarakat. Rata-rata mereka mengakui mural yang dihasilkan mampu menggamit nostalgia setiap kali melihatnya,” jelasnya.

Pemuda ini mengambil masa seminggu untuk menyiapkan lukisan mural rumahkayu.

Tambah Zameer lagi, dia menjadikan rumah-rumah kampung sewaktu zaman dia membesar satu ketika dahulu sebagai inspirasi untuk menghasilkan mural.

“Saya hanya menggunakan cat berasaskan air dan semburan dalam tin.

“Sementara itu, warna-warna pula banyak menggunakan tona asas seperti putih, hitam, merah, biru, hijau dan oren sahaja. Selebihnya saya menggunakan kemahiran untuk membancuh warna yang direka sendiri,” jelasnya.

Terang Zameer, penggunaan cat berasas air dipilih untuk lukisan mural tersebut bagi membolehkan rakaman gambar yang dibidik cantik seperti pemandangan sebenar.

“Untuk dinding memang perlu menggunakan cat berasaskan air.

“Jika cat berasas minyak digunakan, ia akan menjadikan permukaan berkilat dan akan terpantik sewaktu gambar dirakam. Jadi, potensi gambar untuk menjadi tidak cantik sangat tinggi,” jelasnya.

Mengecat mural rumah kayu pada dinding kedai berkeluasan 6 x 3 meter bersama anak dan isteri, Zameer hanya mengambil masa tiga hari untuk menyiapkannya.

“Saya turut menggunakan carian di internet sebagai rujukan.

“Bahagian paling sukar dalam penghasilan rumahkayu ini adalah untuk menjadikan barang-barang di dalam mural tersebut tampak munasabah dengan tema rumah zaman 80-an.

“Memandangkan rumahkayu ini dihasilkan menggunakan cat air, perubahan cuaca terutamanya ketika hujan pastinya menjadi cabaran utama buat kami.

“Pernah satu hari ketika saya sedang melukis, hujan turun secara tiba-tiba. Biarpun terpaksa mengulangi semula proses lukisan tersebut, namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus menyiapkan lukisan ini,” kongsinya.

Berkongsi bakat yang dimiliki dengan menerusi seni mural yang menggamit memori umum, siapa sangka rezeki pemuda ini mencurah-curah.

Sejak rumahkayu yang dihasilkannya tular, Zameer mula mendapat banyak tempahan dari seluruh pelosok negara yang mahukan lukisan dengan tema sama terlukis pada dinding rumah dan premis perniagaan mereka.

“Saya sebenarnya membuat lukisan pada kenderaan dan barang-barang automotif, tetapi itulah rezeki.

“Pun begitu dalam banyak-banyak tempahan yang diterima, saya baru menyiapkan lima tempahan. Insya-Allah, saya akan terus mengambil tempahan selepas ini,” katanya.

Mahu terus berkongsi sentuhan tangan kepada umum, menurut Zameer lagi, mural pada dinding kedainya itu terbuka mana-mana individu yang mahu bergambar dan tiada bayaran yang dikenakan.

“Cukuplah mereka menghargai rumahkayu ini dan itu sudah cukup memadai buat saya,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN