fbpx

70,000 meriahkan MRTM Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 di Dataran Drawbridge di Kuala Nerus pada Jumaat lalu.

MAJLIS Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 pada Jumaat lalu mencapai matlamatnya apabila berjaya menarik lebih 70,000 orang untuk memeriahkannya.

Orang ramai bukan sahaja penduduk di Terengganu, malah dari Kelantan turut memenuhi Dataran Drawbridge, Kuala Terengganu pada hari tersebut.

Mereka dijamu dengan beraneka hidangan seperti ketupat palas, lemang, laksa Terengganu, cendol, sate dan nasi himpit.

Dataran Drawbridge Kuala Terengganu yang merupakan ikon negeri Terengganu turut dihiasi indah dengan pelita raya yang berwarni-warni dengan pelbagai rekaan.

Kemuncak MRTM Aidilfitri 2022 merupakan perasmian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut menaiki bot menyusuri muara Sungai Terengganu.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

MRTM Aidilfitri 2022 begitu signifikan kerana ia merupakan program bersemuka berskala besar yang julung kali dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selepas dua tahun terhenti berikutan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri beramah mesra bersama OKU yang turut hadir
pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022.

Nancy berkata, program itu juga menandakan iltizam MOTAC untuk kembali agresif mempromosikan destinasi menarik tempatan seiring dengan peralihan ke fasa endemik pada 1 April lalu.

Beliau berkata, MRTM bukan sahaja menjadi medan meraikan sambutan Aidilfitri, malah menonjolkan adat, seni dan budaya yang menjadi tunjang kepada masyarakat Terengganu.

“Terengganu kaya dengan kepelbagaian produk pelancongan berteraskan kekayaan alam semula jadi, keunikan budaya, kesenian, warisan dan tinggalan sejarah tersendiri.

“Negeri ini memiliki pesisir pantai indah sepanjang 244 kilometer, Tasik Kenyir sebagai tasik buatan manusia terbesar Asia Terenggara dan Setiu Wetlands selain seni ukiran, batik serta songket,” katanya.

Menurut Nancy, selain jamuan makan dan persembahan, MRTM Aidilfitri 2022 yang diadakan selama tiga hari sehingga semalam turut menonjolkan kesenian dan budaya tradisional Melayu Terengganu seperti permainan wau dan gasing, mencanting batik, songket dan kehidupan nelayan.

Pelbagai agensi di bawah MOTAC seperti Balai Seni Lukis, Jabatan Muzium, Lembaga Penggalakan Pelancongan dan Jabatan Warisan mengambil bahagian dengan membuka gerai pameran bagi menarik minat orang ramai terhadap pelancongan, seni, budaya dan warisan.

Di samping itu, MOTAC melalui Unit Komunikasi Korporat turut mengadakan Hari Bertemu Pelanggan sebagai aktiviti turun padang bagi mendekati penggiat industri pelancongan, seni budaya dan rakyat khususnya di Pantai Timur.

Orang ramai beratur untuk mengambil makanan pada MRTM Aidilfitri 2022 di Dataran Drawbridge, Kuala Nerus.

“Kita juga mengadakan program Rewang Raya dengan kerjasama penduduk kampung yang bergotong-royong menjamu 2,000 orang di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus,” ujarnya.

Nancy memberitahu, MRTM Aidilfitri merupakan program yang mengikat jati diri rakyat sebagai sebuah keluarga Malaysia.

Ujarnya, pertemuan dalam MRTM Aidilftiri 2022 melambangkan kesepaduan, keserasian dan keharmonian kepada semua sebagai sebuah Keluarga Malaysia untuk sama-sama merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Elemen seni budaya yang penuh warna-warni inilah menjadi sumber kekuatan kita sehingga dunia mengenali Malaysia sebagai negara berbilang kaum yang hidup dalam suasana aman dan harmoni.

“Ia sekali gus menjadi kunci utama dalam memulih dan merancakkan semula industri pelancongan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Amran Mat Zin berkata, dia sekeluarga berasa teruja untuk sama-sama memeriahkan MRTM Aidilfitri 2022 pada Jumaat lalu.

“Sudah dua tahun sambutan Aidilfitri suram ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Penganjuran MRTM Aidilfitri ini sangat dinantikan apatah lagi ini pertama kali kami bersua muka dengan Ismail Sabri sejak beliau dilantik menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI