fbpx
AMAR BAHARIN

Amar Baharin dihalang jalani penggambaran di rumah sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Selepas Awal Ashaari, pelakon Amar Baharin turut melalui pengalaman sama semasa berurusan dengan badan pengurusan bersama (JMB) di kediamannya di Semenyih.

Amar menjadikan rumah itu sebagai lokasi penggambaran memandangkan dia sekeluarga tinggal di kediaman lain di ibu negara.

Namun, apa yang berlaku, ujar pelakon drama Hati Yang Dikhia­nati itu, pihak pengurusan se­perti sengaja membangkitkan isu dan mencari kesalahan setiap kali dia menjalani penggambaran di rumah tersebut.

“Saya pemilik mutlak tetapi tidak menetap di situ kerana tuntutan kerja di Kuala Lumpur. Kerjaya sebagai pelakon membuatkan saya menjadikan rumah itu untuk penggambaran.

“Memiliki kediaman dengan status strata menjadikan saya akur dengan aktiviti keluar ma­suk, ubah suai dan pembinaan. Tetapi baru-baru ini, saya didatangi wakil syarikat yang meminta bukti kebenaran penggambaran di rumah tersebut.

“Kebenaran sudah disahkan tetapi pihak mereka tidak berpuas hati dan cuba cari salah seperti membangkitkan isu pihak produksi tidak meletakkan barang-barang secara teratur (dalam kawasan rumah), parkir dan sebagainya,” kata Amar.

Susulan itu, Amar mempertikai tindakan syarikat berkenaan yang menghalangnya melakukan kerja sedangkan ia merupakan kediamannya sendiri.

“Apa gunanya saya sebagai pelakon membeli rumah di kawasan yang tidak dibenarkan untuk menjalani penggambaran. Saya beli rumah hasil titik peluh bekerja sebagai selebriti.

“Bukan setiap hari (penggambaran), cuma beberapa hari dalam sebulan. Saya bukan be­kerja pejabat, pukul 5 petang balik tidur,” ujarnya.

Tidak tahan dengan situasi itu, Amar menempelak syarikat berkenaan dengan menyifatkan mereka lupa diri selepas berkuasa dan berharap terdapat pertukaran sekiranya mesyuarat agung tahunan diadakan.

Pada 17 Mei lalu, Awal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara pada April lalu.

Pengacara itu menerusi satu siaran langsung di Instagramnya berkata, dia mengalihkan palang menggunakan tangan, bukannya melakukan kekerasan atau langgar menggunakan kereta di­sebabkan mempunyai tunggakan bayaran yuran fasiliti. -KOSMO! ONLINE

POPULAR