fbpx
Gambar hiasan

Tambang e-hailing naik mendadak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bebanan kehidupan yang terpaksa ditanggung orang ramai terutamanya yang tinggal di ibu negara kini semakin bertambah apabila kadar tambang bagi perkhidmatan
e-hailing dilaporkan telah mening­kat mendadak sejak hujung Ra­madan lalu.

Kenaikan hampir sekali ganda itu berlaku ketika orang ramai turut berdepan isu kos harga barang, makanan dan perkhidmatan lain yang melonjak ketara baru-baru ini.

Menurut pelanggan, kenaikan luar biasa bagi tambang per­khidmatan e-hailing benar-benar membebankan mereka, terutama yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan itu untuk keluar berkerja.

Seorang pekerja swasta, Siti Nuramalina Azmi, 27, berkata, kenaikan tambang hampir sekali ganda itu berlaku walaupun jarak yang dilalui tidak sampai lima kilometer dan bukannya pada waktu puncak.

“Sebelum Aidilfitri lalu, kadar tambang adalah sekitar RM7, tetapi kini harganya telah naik sehingga RM14.

“Saya tidak faham, sedangkan jarak perjalanan sama sahaja ia­itu dari Desa Tun Razak ke Lake Fields di Sungai Besi.

“Lebih membebankan apabila kenaikannya cukup tinggi iaitu sampai sekali ganda,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

PELANGGAN merungut, ramai mahu beralih kepada perkhidmatan teksi.

Jelas Siti Nuramalina, situa­si makin genting apabila dia terpaksa menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk pergi dan balik bekerja hampir setiap hari.

Bagi seorang lagi pekerja swasta, Atiqah Liyana Ruhizat, dia mengakui perbelanjaan bulanannya mula terkesan ekoran kenaikan tambang e-hailing.

Jelasnya, dia yang menetap di Bandar Sri Permaisuri terpaksa membelanjakan hampir RM600 sebulan semata-mata untuk untuk ke tempat kerja di Sungai Besi.

“Setiap hari saya akan menggunakan e-hailing untuk berulang alik dari rumah ke tempat kerja.

“Kalau sebelum ini, saya membelanjakan sekitar RM400 sebulan, tetapi kini saya terpaksa membayar lebih iaitu sekitar RM600,” ujarnya.

Justeru katanya, pihak berkenaan diharap dapat menyelesaikan masalah ini bagi mengurangkan bebanan terutama orang ramai terutama yang bekerja di ibu negara.

Dalam pada itu, Nurul Shuhada Othman, 29, menjelaskan, kenaikan tambang e-hailing itu tidak seimbang dengan perkhid­matan yang diharapkan apabila para pelanggan terpaksa me­nunggu untuk tempoh yang lama berbanding biasa.

“Tambang naik, kereta (pemandu e-hailing) pula sampai lambat. Sebelum ini, masa me­nunggu dalam 10 minit, kini dalam 30 minit pula.

“Caj pula naik dengan mendadak, jarak perjalanan tak sampai lima kilometer, harga daripada RM6 kini meningkat kepada RM14 walaupun pada hari biasa,” dakwanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN