fbpx

KASA teliti perubahan morfologi sungai kawasan pendalaman seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaini (empat, kanan) ketika melihat tindakan penyelesaian Lembangan Sungai Jelai di Kampung Kabung, di sini, tadi. – FOTO: NOR AINNA HAMZAH

KUALA PILAH – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kini sedang meneliti perubahan morfologi sungai melalui Kajian Tebatan Banjir khususnya di kawasan pendalaman bagi mengelak berlakunya masalah banjir kilat.

Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, kejadian banjir kilat di kawasan pendalaman seperti membabitkan sungai Benus di Janda Baik, Pahang; sungai Jerai di Yan, Kedah dan terbaharu Sungai Jelai, di Inas, Negeri Sembilan adalah berhubung kait dengan perubahan morfologi sungai.

Menurutnya, pihaknya telah mengenalpasti punca berlakunya banjir kilat berkenaan dan mendapati berlakunya guna tanah yang telah berubah iaitu dari kawasan hutan ke kawasan pertanian untuk ditanam Musang King atau lain-lain lagi disamping berlakunya hujan lebat.

“Seperti di sini, 16 Mei lalu, taburan hujan sebanyak 66 milimeter (mm) direkodkan dalam tempoh empat jam. Kelebatan ini di sesetengah tempat sangat sedikit jika dibandingkan di pendalaman Kelantan, namun kawasan ini mencatatkan sejarah apabila berlakunya banjir kilat.

“Sungai yang di hulunya ada dibangunkan untuk tujuan perumahan, pertanian ini adalah sungai-sungai yang mengalami perubahan dari segi morfologinya, ekosistemnya berubah, Jadi sungai ini lah yang biasanya akan berlaku banjir kilat sekaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Lawatan Kerjanya ke kawasan terjejas banjir di Inas, di Masjid Kariah Kabong, di sini, tadi.

Ujar Zaini lagi, selain perubahan morfologi sungai, pihaknya juga meneliti kesesuaian infrastruktur jambatan di sungai-sungai yang telah dikenalpasti.

“Insfrastrukur macam jambatan yang mana ada tiang di bawah dah tak sesuai kerana menyebabkan aliran air tidak lancar ketika hujan lebat akibat laluannya tersekat.

“Kajian ini mengambil masa sebagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sebutkan untuk adaptasi perubahan iklim, kabinet telah bersetuju memperuntukan sebanyak RM393 bilion dalam tempoh 50 tahun,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zaini menegaskan, semua pihak termasuk individu juga perlu akur dengan garis panduan yang bakal dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir kilat membabitkan perubahan guna tanah.

“Garis panduan telah disediakan, kita nak pelbagai pihak akur termasuk individu di kawasan perkampungan yang ingin membangunkan pertanian atau perumahan yang mana sebelum ini mereka ini tidak tertakluk keperluan untuk mendapatkan kebenaran merancang.

“Contohnya dari kawasan hutan jadi kawasan pertanian. Dalam tempoh lima tahun pembersihan tanah, 100 peratus air akan terus masuk ke dalam sungai. Sekiranya ada hutan atau pokok getah, 10 peratus sahaja air yang masuk ke dalam sungai.

Menurutnya, bagi tujuan tersebut, perlaksanaannya adalah di peringkat Kerajaan Negeri melalui pejabat daerah mahupun pihak berkuasa tempatan untuk memastikan perubahan guna tanah dapat dibuat secara teratur dan terkawal.

Untuk rekod, bagi lawatan berkenaan, kerja-kerja bagi Rancangan Tebatan Banjir Sungai Jelai membabitkan lima fasa dengan permohonan peruntukan dianggarkan lebih RM100 juta telah dimulakan sejak 17 Mei lalu.

Kosmo! semalam melaporkan kejadian banjir di Inas, Kuala Pilah dan Bukit Miku, Rembau disebabkan keghairahan pihak tertentu meneroka kawasan tandahan air.

Difahamkan, ia adalah bagi projek pertanian antaranya penanaman Musang King. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI