fbpx

Kaki pancing maut digilis treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal Honda Wave yang ditunggang mangsa selepas digilis sebuah treler di Kilometer 3 Jalan Machang-Pasir Puteh dekat Machang malam tadi. - FOTO: IHSAN POLIS

MACHANG – Seorang pemancing maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebelum digilis sebuah treler yang kemudian terus melarikan diri dalam kejadian di Kilometer 3 Jalan Machang-Pasir Puteh di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, mangsa, Ahmad Zarriq Ahmad Zulkhairee, 24, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Machang selepas memancing di Pasir Puteh.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah treler dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh motosikal yang ditunggang mangsa.

“Insiden itu menyebabkan mangsa digilis dan diseret treler berkenaan sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu treler terbabit bagaimanapun telah melarikan diri selepas kemalangan tersebut. Polis sedang mengesan pemandu dan treler yang terlibat dalam nahas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shuhaimi, sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui atau melihat kejadian itu agar tampil untuk membantu siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, Inspektor Nur Nazifah Bakhori di talian 019-963 4528. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI