fbpx

Ringgit kini RM4.40 berbanding dolar AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Nilai ringgit terus mencatatkan penurunan hari ini, dengan mencecah paras 4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, penurunan nilai ringgit banyak berpunca daripada faktor luaran, terutamanya jangkaan kenaikan kadar faedah AS secara agresif.

Jelasnya, kadar faedah di AS telah dinaikkan dua kali tahun ini daripada 0.25 peratus Februari lalu kepada 0.50 peratus pada Mac dan kepada 1.00 peratus pada Mei 2022.

“Berdasarkan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS, kadar faedah akan terus dinaikkan secara agresif dan ahli jawatankuasa lain turut senada dengan beliau.

“Jangkaan umum ialah kadar faedah AS akan dinaikkan masing-masing sebanyak 50 mata asas pada Jun serta Julai depan kepada 2.00 peratus dan sekiranya ia terus dinaikkan pada kadar sama dalam mesyuarat pada September, November dan Disember depan, kadar faedah AS akan mencecah 3.50 pada akhir tahun.

Mohd. Afzanizam

“Dari segi teori ekonomi, kadar faedah yang lebih tinggi akan menjadikan mata wang lebih kukuh dan tanggapan semasa ialah kadar faedah di AS akan menjadi lebih tinggi berbanding di negara kita,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Menurut Mohd. Afzanizam, ketika negara seperti Jepun dan China dilihat membawa hala tuju berbeza pada dasar monetari masing-masing sama ada untuk mengekalkan atau menurunkan kadar faedah semasa, dolar AS akan dilihat sebagai ‘hero’ dan nilainya akan terus meningkat.

“Negara-negara Eropah juga dilihat mahu meningkatkan kadar faedah, namun situasi perang di Ukraine mungkin mengekang keupayaan bank pusat mereka untuk berbuat demikian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI