fbpx

109 pembeli PR1MA kecewa tak dapat beraya rumah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pembeli berharap mereka boleh segera menduduki kediaman PR1MA Residensi Bandar Bukit Mahkota di Kajang.

KAJANG – Harapan sekumpulan 109 individu untuk beraya di rumah baharu berkecai apabila kediaman Skim Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Residensi Bandar Bukit Mahkota di sini didakwa masih tidak siap dibina selepas tertangguh sebanyak 10 kali sejak tahun 2019.

Pembeli mendakwa, mereka kecewa apabila pemaju memaklumkan rumah itu boleh diduduki pada April lalu, namun ia tidak menjadi kenyataan apabila masih gagal mendapat kunci sehingga kini.

Seorang pembeli yang hanya ingin dikenali sebagai Hakimi, 38, berkata, mereka telah mendapat jemputan daripada PR1MA untuk mengadakan satu perbinca­ngan berkenaan masalah itu pada 14 Januari lalu.

“Kami dijanjikan rumah boleh didiami pada April lalu dan pada sangkaan kami, ia satu berita gembira kerana boleh meraikan Syawal di rumah baharu.

“Bagaimanapun, ia bagaikan mimpi ngeri kerana projek itu te­lah diklasifikasikan sebagai projek sakit oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Mereka kemudian maklumkan satu tarikh baharu iaitu pada September depan dan membe­ritahu, projek itu kini siap 98 peratus,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Kosmo! difahamkan terdapat 109 pembeli layak memiliki rumah tersebut. Terdapat 612 unit rumah di kediaman tersebut dan ada pembeli yang tidak layak ke­rana masalah pembiayaan.
Kediaman tersebut dibina pada tahun 2017 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Mac 2019.

Seorang lagi pembeli, Moha­mad Nabil Muhamad, 32, berkata, pihak pemaju telah memberi pelbagai alasan antaranya di­sebabkan kekurangan pekerja serta masalah pandemik Co­vid-19 yang menyerang negara sebelum ini.

Keadaan di dalam sebuah unit rumah PR1MA yang hampir siap di Bandar Bukit Mahkota, Kajang.

“Pihak pembeli ada menghubungi pemaju untuk diajak bersemuka, namun tidak pernah berjaya. Mereka hanya akan res­pon melalui e-mel dan menyatakan beberapa kali tarikh baharu untuk penyerahan kunci rumah.

“Sehingga kini sudah 10 kali pihak pemaju berjanji dan me­nyatakan tarikh penyerahan kunci rumah, terbaharu mereka janji pula pada September nanti,” luahnya.

Tambah Mohamad Nabil, ketika ini pihak pembeli sudah jemu dengan janji yang diberikan dan apa yang diingini pihaknya adalah tarikh penyerahan kunci rumah yang sebenar.

“Cukup-cukuplah berjanji, kami semua sudah jemu. Sejak Mac 2019 berjanji dan kali ini pula pada September nanti. Pembeli hanya mahukan rumah yang dibeli.

“Pada 2018, pembinaan rumah juga agak perlahan dan apa yang kami dapat tahu daripada pemaju masa itu, hanya 35 peratus proses pembinaan berjaya disiapkan,” tegasnya.

Kediaman PR1MA Residensi Bandar Bukit Mahkota dijangka siap sepenuhnya pada akhir September nanti.

Seorang lagi pembeli, Nur Hidayah Ismail, 37, pula berkata, bukan isu kelewatan sahaja yang pembeli alami, malah harga rumah juga didakwa turut berubah.

“Saya antara pembeli terawal rumah itu pada harga RM360,000 sebelum PR1MA membuat kempen pembelian pada 2019 apabila harga rumah turun sebanyak RM60,000. Ini tidak adil kepada kami pembeli lama.

“Pada masa depan jika kami ingin jual rumah ini, harganya tidak adil kepada kami yang sudah bayar mahal daripada pembeli baharu,” ujarnya.

Menurut Nur Hidayah, apa yang membuatkan mereka gusar ialah terpaksa membayar pinjaman penuh bank walaupun rumah belum siap dan tidak dapat diduduki.

Dalam pada itu, PR1MA melalui satu kenyataan berkata, sehingga kini, status terbaharu projek pembinaan kediaman Residensi Bandar Bukit Mahkota adalah sebanyak 98.6 peratus siap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI