fbpx

Kerajaan Laos nafi negara berdepan krisis petrol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR dirakam antara 9 dan 10 Mei lalu menunjukkan penunggang motosikal beratur panjang untuk mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Vientiane. - AFP

VIENTIANE, Laos – Laos menafikan kewujudan krisis petrol walaupun kerajaan mengadakan mesyuarat tergempar dan kenderaan dilihat berbaris panjang di stesen-stesen minyak di negara berkenaan, lapor laman berita Thaiger.

Kerajaan Laos yang mengimport sebahagian besar bekalan petrolnya dari Thailand, menjadualkan mesyuarat tergempar bagi membincangkan masalah inflasi, pembelian panik dan punca sebilangan besar stesen minyak ditutup di Laos minggu lalu.

“Saya memberi jaminan bahawa syarikat saya serta Persatuan Bahan Api dan Gas Laos akan membekalkan bekalan bahan api yang mencukupi, justeru masalah kekurangan bekalan tidak berlaku,” kata Presiden Petroleum Trading Lao Public Company, Chanthone Sitthixay dalam satu ucapan kepada umum.

Syarikat Thailand yang memiliki 53 stesen minyak di Laos, PTT Oil pula merancang untuk menyalurkan bekalan seperti biasa, demikian menurut pegawai pemasaran kanannya, Songpon Thepnumsommanus.

Pengimport-pengimport petroleum mendapati semakin sukar memenuhi permintaan yang terus meningkat di Laos berikutan nilai mata wang kip semakin lemah disebabkan peningkatan inflasi dan ketidaktentuan dalam industri minyak global 

Bagaimanapun, kerajaan Laos pada minggu lalu menafikan masalah tersebut dan menggesa orang ramai supaya tidak bimbang.

Seorang penduduk tempatan, Kham Goodman menafikan kenyataan kerajaan dalam hantarannya di media sosial. Lelaki itu sebaliknya menyiarkan rakaman video memaparkan orang ramai beratur panjang sambil membawa botol untuk mengisi petrol.

Laos merupakan antara negara paling miskin di rantau Asia Tenggara dan mempunyai populasi lebih tujuh juta orang. Vientiane meletakkan hala tuju untuk mencapai pertumbuhan ekonomi empat peratus pada setiap tahun sehingga 2025. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI