fbpx
Gambar hiasan

Wakil rakyat perlu ada ijazah, popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR, WARTAWAN EKSEKUTIF

“Hari mengundi sudah hampir tiba, tak sabar aku mahu memilih wakil rakyat ini.”

Mungkin ayat ini sudah lama kita dengar, namun hakikat yang perlu disedari, apakah sebenar­nya yang mahu diundi?

Adakah calon yang mahu diundi atau pun parti diwakili individu tersebut sebenarnya yang hendak dipilih? Persoalannya di sini, mana lebih penting, calon atau parti?

Sebut sahaja nama parti antaranya UMNO, Pas, PKR dan DAP, sudah tentu ramai yang me­ngetahui tentangnya.

Bagi mereka yang sudah mempunyai kecenderungan tertentu terhadap sesebuah parti tidak ada keraguan lagi dalam diri mereka untuk membuang undi.

Tidak kira siapa yang di­pilih sebagai wakil parti untuk bertanding baik di Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen, kemungkinannya sebilangan besar pengundi tidak kisah soal tersebut.

Bagaimanapun, sudah tentu ada pihak yang akan meneliti secara terperinci calon parti tersebut dan mengambil masa untuk mengenalinya.

Ini kerana, calon tersebutlah yang akan diharapkan untuk menjadi ‘penyelesai’ masalah di DUN atau Parlimen.

Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, terdapat tiga ciri atau pakej yang perlu dimiliki oleh seseorang calon pilihan raya.

Jelasnya, ciri pertama adalah calon tersebut dikenali di kawasan yang mahu ditandinginya dan kedua tahap pendidikan serta usia calon tersebut.

“Sudah tentu calon berkenaan perlu dikenali penduduk yang kawasan mahu ditandinginya, biarpun tidak begitu popular se­perti Datuk Seri Najib Tun Razak ataupun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, namun penting untuk mereka dikenali rakyat.

“Bagi tahap pendidikan pula, ia bagaikan sudah menjadi stan­dard baharu ketika ini kerana wakil rakyat inilah yang akan menjadi penggubal undang-undang. Sekarang ini paling kurang pun calon sudah ada ijazah sarjana muda.

“Faktor ketiga adalah usia, dan ia berkaitan dengan demografik. Sebagai contoh, kawasan yang mempunyai pengundi berusia antara 25 hingga 40 tahun cen­derung untuk mengundi orang yang sebaya mereka,” katanya.

Justeru, katanya, adalah pen­ting bagi satu-satu parti untuk memilih calon dengan mengambil kira faktor demografik me­lainkan calon mereka adalah individu popular.

Sebagai contoh, katanya, tiada siapa yang menyangka Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menang di kubu kuat UMNO di Langkawi, namun itulah yang berlaku.

Sementara itu, menurut satu kajian terbitan Universiti Michigan, Amerika Syarikat, terdapat beberapa faktor yang menentukan pilihan pengundi, antaranya isu semasa berkaitan kepentingan awam, prestasi kerajaan serta keperibadian calon.

Berdasarkan kajian tersebut, soal calon berkait rapat dengan parti diwakili mereka serta pencapaian yang mungkin dicapai untuk jangka masa panjang sekiranya parti menang pilihan raya.

“Bagaimanapun, ­keperibadian calon serta prestasi kerajaan merupakan faktor jangka masa pendek, namun hala tuju serta ideologi parti memainkan pera­nan penting dalam menarik perhatian pengundi,” katanya.

Ini kerana, jelasnya, isu-isu berkaitan rakyat seperti per­belanjaan pertahanan menjangkaui beberapa pilihan raya lebih diutamakan oleh pengundi.

 

 

 

POPULAR