fbpx

Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN setuju pengiktirafan sijil vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN bersetuju dengan Mutual Recognition of Covid-19 Vaccination Certificates atau Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksin Covid-19 bagi memastikan perjalanan rentas sempadan yang lancar dan selamat.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Anak Dagang berkata, persetujuan itu dinyatakan menerusi Sesi Perbincangan Khas Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-15 berlangsung di Bali, Indonesia semalam.

“Pengiktirafan ini akan dilaksanakan menggunakan ASEAN Universal Verification Mechanism atau mekanisma lain yang telah dibangunkan berdasarkan spesifikasi teknikal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Ia bertujuan untuk memudahkan urusan pengesahan sijil vaksinasi Covid-19 yang dikeluarkan setiap negara anggota ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Malaysia menghargai usaha Indonesia untuk mengambil inisiatif mengetuai pembangunan ASEAN Universal Verification Mechanism ini dan Malaysia berpandangan bahawa sistem yang dilaksanakan secara sukarela ini, berpotensi tinggi untuk menyokong negara-negara anggota ASEAN yang belum lagi mempunyai sistem verifikasi sijil vaksinasi Covid-19.

“Ia penting bagi melancarkan pembukaan sempadan dan seterusnya mempercepatkan proses pemulihan ASEAN daripada Covid-19.

“Malaysia juga menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dalam melaksanakan Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksin Covid-19 bagi negara anggota ASEAN untuk memastikan pembangunan rantau ASEAN yang lebih sihat dan selamat, selain menjamin kelangsungan hidup rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI