fbpx

Kes HFMD: Penutupan taska, tadika di Selangor diputuskan minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (tengah) ketika ditemui pada Majlis Semanis Aidilfitri Bersama PKR Hulu Selangor di Antara Gapi, petang tadi.

HULU SELANGOR – Penutupan taska, tadika dan pusat jagaan harian di Selangor susulan peningkatan kes mingguan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) akan diputuskan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan khas dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi membincangkan isu kesihatan termasuk HFMD minggu ini.

Tegasnya, setakat ini pihaknya belum memperoleh maklumat terperinci dan laporan terbaharu mengenai penyakit berkenaan.

“Justeru, kita akan bermesyuarat dengan JKNS minggu ini bagi memperincikan statistik kes terbaharu HFMD itu.

“Keputusan sama ada untuk menutup sekolah atau tadika akan diputuskan selepas perbincangan khas itu nanti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Semanis Aidilfitri Bersama PKR Hulu Selangor di Antara Gapi di sini, petang tadi.

Kelmarin, statistik Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merekodkan sebanyak 6,748 kes HFMD di negeri ini yang kekal melebihi paras amaran.

Terdapat 118 kluster HFMD dilaporkan dengan 95 daripadanya melibatkan kluster di taska, tadika dan pusat jagaan harian, namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Jelas Amirudin, pihaknya akan turut meminta kerjasama Jabatan Pendidikan negeri bagi membincangkan isu berkenaan kelak. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI