PEMBINAAN minda keusahawanan sememangnya amat penting untuk kejayaan seseorang dalam setiap apa yang diusahakan.
Tidak hanya tertumpu kepada para usahawan, ia juga boleh diaplikasikan buat mereka yang bukan berkecimpung dalam dunia perniagaan demi meraih apa yang dicita-citakan selama ini.
Tidak kira apa juga bidang kerja termasuk penjawat awam, buruh, juruteknik dan sebagainya perlu mempelajari dan mengaplikasikan minda keusahawanan dalam pekerjaan masing-masing.
Jika ini dapat dilakukan dengan berkesan, syarikat atau organisasi yang kita sertai akan mendapat banyak faedah daripada kerja-kerja yang kita usahakan.
Selain itu, kita juga mendapat faedah besar dalam bentuk memperkembangkan potensi diri kita sebagai individu.
Seseorang ahli perniagaan berjaya dalam perniagaan kerana dia mempunyai sifat atau ciri tertentu sebagai seorang usahawan.
Antara yang paling penting adalah ciri-ciri keusahawanan ini dibina meliputi minda, hati dan jiwa.
Apakah yang dimaksudkan dengan minda keusahawanan?
Ciri pertama yang ada pada diri usahawan berjaya adalah minda mereka fokus terhadap pelanggan dengan memikirkan kepuasan diperoleh daripada perkhidmatan atau produk ditawarkan.
Mereka akan memikirkan peningkatan kualiti berterusan dalam menguruskan pelanggan dan mengatakan esok bermula dari hari ini.
Obses dengan perkhidmatan pelanggan adalah salah satu ciri terpenting dalam perniagaan yang berjaya, menurut Tom Peters, pengarang buku In Search of Excellence .
Dalam bahasa yang hampir sama, menurut Brian Tracy, pengarang buku Get Smart!, obses dengan cara menjual juga merupakan satu lagi sifat penting dalam mengekalkan pelanggan.
Berlawanan dengan minda keusahawanan adalah minda korporat.
Pemikiran korporat ini, sama ada kita sedar atau tidak menjangkiti kebanyakan pekerja yang mana di mata mereka, pelanggan atau pengguna adalah pengacau.
Jika boleh mereka tidak perlu berurusan dengan pengguna yang suka merungut, sebaik sahaja membeli produk atau perkhidmatan yang disediakan.
Mereka hanya melakukan tugas untuk menggembirakan ketua masing-masing dan mengikut peraturan, supaya tidak dipecat.
Kebanyakan pekerja pula tidak dapat berasakan mereka adalah sebahagian daripada organisasi dan datang bekerja sebelum waktu dan keluar sebelum waktu kerja tamat.
Paling berbahaya, lebih banyak masa bekerja dihabiskan untuk perkara yang tidak berkaitan dengan kerja dan apabila di rumah, perkara berkaitan kerja hilang daripada minda.
Ciri kedua minda keusahawanan adalah komitmen.

SESEORANG yang berminda usahawan mempunyai cara berfikir yang lebih positif demi kemajuan syarikat dan diri sendiri. –GAMBAR HIASAN
Sebilangan penyelidik telah membuat kesimpulan bahawa lebih daripada 60 peratus pekerja di syarikat kecil atau besar mempunyai sikap bebas terhadap syarikat mereka.
Ya, mereka masih pergi bekerja dan melakukan kerja seperti biasa, tetapi fikiran ‘melayang’ ke tempat lain.
Mereka masih mencari peluang pekerjaan di tempat lain dengan menyerahkan resume ke Linkedin, JobsDB dan sebagainya.
Ramai yang tidak sedar bahawa komitmen atau kesetiaan adalah kunci kejayaan syarikat dan sebab itu, pekerja yang mempunyai pemikiran keusahawanan melihat diri mereka sebagai pekerja bebas.
Dalam hal ini, mereka berasakan syarikat seperti milik sendiri dan bersedia menerima tanggungjawab dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hasil kerja.
Sebagai seorang yang berminda usahawan, individu tersebut perlu mempunyai cara berfikir yang positif, terutamanya dalam mengambil sesuatu tindakan atau langkah yang akan dilakukan.
Dengan selalu berfikir positif, maka seorang usahawan itu akan mempunyai rasa optimis agar mampu berkembang dan maju.
Pola pemikiran sebegini boleh mengusir rasa takut kerana kegagalan yang sering menghantui seseorang usahawan.
Berani menghadapi risiko juga merupakan sifat penting seseorang yang berminda usahawan.
Dalam perjalanan membina kejayaan terdapat banyak risiko kerugian, kegagalan, penipuan, serta risiko lain yang boleh menggugat kemajuan.
Akhirnya, seorang yang berminda usahawan tidak hanya terfokus pada masa depan, tetapi perlu mempunyai orientasi terhadap hasil yang dapat diperoleh.
Dengan mempunyai orientasi pada hasil, setiap usahawan dapat melakukan pekerjaan yang baik untuk membina usahanya.
—————————————————————————————————————————————————————————-
AFIZAN AMER merupakan Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau,Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.














