fbpx

Anak asnaf ceria dapat baju raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA kanak-kanak mencuba baju Melayu yang disumbangkan kepada mereka untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri.

APABILA Syawal menjelma, golongan kanak-kanak merupakan antara yang pasti ternanti-nanti akan kemeriahannya.

Bagi kanak-kanak daripada keluarga berada, sudah semestikan akan dibelikan beberapa pasang pakaian baharu mengikut tema yang telah dipilih oleh keluarga masing-masing.

Namun, bagi mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan, sepasang pakaian baharu belum tentu dinikmati memandangkan terdapat keperluan lain yang perlu didahulukan.

Perkara itulah menghantui Mohd. Rakis Yusoff, 40, dari Taman Penaga Permai, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang sejak awal Ramadan lalu.

Katanya, dia amat runsing apabila memikirkan persiapan untuk empat anaknya yang kini berusia antara empat hingga 13 tahun.

“Apabila memikirkan persiapan untuk anak-anak terutama bagi menyediakan pakaian baharu untuk mereka, hati saya berasa resah.

“Ini kerana sumber kewangan saya sangat terhad selepas berhenti kerja akibat masalah kesihatan beberapa bulan yang lalu, selain pernah mengalami serangan virus Covid-19 tahun lalu.

“Kini kami sekeluarga hanya bergantung kepada pendapatan isteri saya yang bekerja di sebuah pasar raya untuk menyediakan kelengkapan bagi menyambut Aidilfitri tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun, keresahan Mohd. Rakis akhirnya terlerai selepas anak-anaknya terpilih sebagai menerima sumbangan pakaian raya yang dianjurkan oleh oleh Persatuan Penduduk Taman Penaga Permai.

Keempat-empat anaknya itu merupakan antara 40 kanak-kanak daripada keluarga asnaf dari taman perumahan itu yang diraikan dalam satu majlis sumbangan di Pasar Raya Besar Mydin Bertam di Kepala Batas baru-baru ini.

TERPANCAR kegembiraan pada wajah anak-anak yang kurang berkemampuan selepas menerima sumbangan pakaian raya yang diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.

Mengulas mengenai program tersebut, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Penaga Permai, Muhammad Iznan Bakar berkata, ia merupakan program yang dilaksanakan dengan kerjasama Surau Darul Furqon, Taman Penaga Permai dan Pasar raya Besar Mydin Bertam.

Kesemua dana bagi menjayakan program berkenaan adalah sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk orang perseorangan, badan korporat, syarikat perkhidmatan bas TRA Holidays Sdn. Bhd. dan Delisha Bakery Delight.

“Pada program yang diadakan pada kali ini, kami memilih 40 kanak-kanak daripada keluarga asnaf terdiri daripada anak yatim, orang kelainan upaya dan anak-anak ibu tunggal yang telah dikenal pasti oleh ahli jawatankuasa program.

“Kami telah memperuntukkan sejumlah wang untuk digunakan bagi membeli pakaian baharu bagi setiap kanak-kanak tersebut.

“Bagi kanak-kanak lelaki, mereka dibelikan sepasang baju Melayu bersama songkok dan samping, manakala bagi perempuan, mereka mendapat sepasang baju kurung berserta tudung.

“Malah, mereka juga turut menerima sumbangan makanan untuk berbuka puasa berupa ayam goreng KFC,” katanya.

Ujarnya, kesemua kanak-kanak itu dibawa ke pasar raya tersebut dengan menaiki bas khas disediakan syarikat TRA Holidays bagi memudahkan pergerakan mereka pada hari itu.

Sebaik tiba, mereka disambut oleh pihak pengurusan pasar raya sebelum dibawa untuk membeli-belah dengan dibantu beberapa orang pekerja.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI