fbpx

Urusan naik taraf Unit Pembahagian Pusaka selesai tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Takiyuddin (tengah) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli kini sedang menguruskan proses menaik taraf Unit Pembahagian Pusaka kepada sebuah jabatan khusus sebelum hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, unit berkenaan ketika ini berada di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) yang berperanan menyelesaikan kes tunggakan pembahagian harta pusaka yang semakin meningkat.

Menurutnya, sehubungan itu, pihak kementerian sudah berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan sedang meneliti aspek perjawatan dan menjangkakan ia akan diselesaikan pada tahun ini.

“Satu jabatan khusus di peringkat persekutuan dan negeri akan diwujudkan bagi menguruskan hal ehwal pembahagian harta pusaka.

“Unit itu akan menjadi sebuah jabatan yang lebih besar di bawah kementerian kerana ia membabitkan berkaitan tanah dalam pembahagian harta pusaka untuk orang Islam terutamanya yang bernilai RM600,000 ke bawah manakala RM600,000 ke atas mereka perlu pergi ke Mahkamah Tinggi.

“Peranan unit itu cukup besar dan disebabkan itu saya berhasrat untuk menaik taraf unit ini kepada satu jabatan yang mempunyai ketua pengarah dan organisasi,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Kota Bharu di sini, hari ini.

Takiyuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, unit itu boleh mengendalikan dua perkara iaitu harta tidak alih seperti tanah dan bangunan selain harta alih seperti kereta dan motosikal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI