PETALING JAYA – Pengasas GTR Burger, Nordin Mat mengakui seminar anjuran RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) telah berjaya membimbing syarikatnya sehingga mencapai jualan RM1 juta sebulan.
Menurut Nordin, sesi seminar yang dikendalikan Mentor Usahawan Richworks yang juga pengasas syarikat itu, Datuk Wira Dr. Azizan Osman telah banyak merubah pendapatan syarikatnya.
Jelasnya, GTR Burger menyertai program Titanium RichWorks pada Oktober tahun lalu dan jualan syarikat ketika itu sekitar RM100,000 sebulan.
“Namun, selepas sesi program dan seminar yang dikendalikan Dr. Azizan, jualan GTR Burger melonjak hingga RM1 juta sebulan sejak bulan Mac lalu.
“Richworks ini bukan sekadar seminar pemasaran jual air liur tetapi juga sesi ‘coaching’ keseluruhan hidup anda,” jelasnya.
Nordin berkata demikian bagi menjawab tuduhan seorang YouTuber dengan nama Jebat Derhaka yang mempersoalkan papan iklan RichWorks yang dikatakan melahirkan usahawan jutawan dapat dilihat di beberapa kawasan di lebuh raya utama.
Dakwa Youtuber itu lagi, Richworks juga adalah seperti skim cepat kaya atau pak man telo.
Mengulas lanjut, Nordin berkata, dia yakin dengan bimbingan daripada Richworks jualan syarikatnya itu akan terus meroket.
“Jauh beza jika nak banding sekadar pengalaman saya berniaga dah 24 tahun tapi bila masuk sini lain betul pendekatannya,”ujarnya.
Tambah beliau, ketika ini juga ada rakan usahawan jutawan Titanium yang mampu memperolehi jualan sehingga RM1 juta sehari walaupun bermula dari bawah.
“Bahkan kebanyakan usahawan yang berjaya hari ini adalah bermula dari kosong dan tidak pandai berniaga sebenarnya.
“Tapi mereka yakin dan percaya kepada proses yang dilalui dalam perjalanan ini, tidak ada yang mudah dan percuma untuk berjaya,” tegasnya.-KOSMO! ONLINE














