fbpx

Detoksifikasi media sosial seminggu kurang risiko kemurungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAJIAN mendapati kebimbangan dan kemurungan boleh dikurangkan dengan berhenti menggunakan media sosial selama seminggu. - Shutterstock

LONDON – Satu kajian terbaharu yang dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Bath, England mendedahkan bahawa mereka yang tidak menggunakan aplikasi sosial media selama seminggu boleh mengurangkan risiko kemurungan dan kebimbangan, lapor portal berita MailOnline semalam.

“Media sosial adalah sebahagian daripada hidup dan untuk kebanyakan manusia, ia sangat diperlukan oleh diri seseorang dan bagaimana mereka berinteraksi dengan orang lain.

“Namun jika seseorang menghabiskan masa berjam-jam setiap minggu melayari media sosial lalu merasakan kesan negatif, mungkin mereka patut mengurangkan penggunaannya untuk melihat sama ada ia membantu,’’ kata ketua penyelidik, Dr. Jeff Lambert.

Kajian berkenaan mendapati mereka yang berehat selama seminggu daripada menggunakan aplikasi TikTok, Instagram, Twitter dan Facebook menunjukkan peningkatan rasa kesejahteraan dalam hidup.

Penyelidik menjalankan kajian dengan membahagikan sampel 154 orang berusia 18 hingga 72 tahun kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama dilarang menggunakan media sosial manakala kumpulan kedua sebaliknya.

Secara purata, peserta kajian menggunakan media sosial selama lapan jam seminggu. Mereka perlu menjawab soalan mengenai tahap kemurungan dan kebimbangan serta rasa kesejahteraan melalui tiga ujian yang diiktiraf. 

Bagi mengukur kesejahteraan, peserta diminta menjawab tahap persetujuan mereka terhadap kenyataan seperti ‘Saya berasa optimis tentang masa depan’ dan ‘Saya telah berfikir dengan jelas’.

Untuk mengukur kemurungan, peserta ditanyakan soalan termasuk ‘Berapa kerap dalam dua minggu minat dan keseronokan anda terganggu dalam melakukan sesuatu’.

Kebimbangan pula dipantau menggunakan Skala Gangguan Kebimbangan Umum dengan menanyakan berapa kerap mereka diganggu oleh rasa gugup atau gelisah atau tidak mampu untuk berhenti bimbang. 

Ketenangan peserta yang berehat selama seminggu daripada menggunakan media sosial menyaksikan peningkatan daripada purata 46 kepada 55.93 pada Skala Kesejahteraan Mental Warwick-Edinburgh.

Tahap kemurungan dalam kumpulan itu menurun daripada 7.46 kepada 4.84 menerusi Soal Selidik Kesihatan Pesakit-8, manakala kebimbangan menurun daripada 6.92 kepada 5.94 pada skala yang sama. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI