fbpx
GOLONGAN lelaki di Afghanistan akan beramai-ramai menyertai acara perang telur atau tokhm-jangi bagi menyambut Aidilfitri.

Tradisi-tradisi unik ragam dunia sambut Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEHARI sebelum sambutan Aidilfitri di Afghanistan, Khala Latifa membeli 200 hingga 300 biji telur ayam untuk direbus.

Selesai direbus, telur-telur tersebut kemudiannya akan diwarnakan dengan tujuh warna iaitu kuning, merah, ungu, hijau, merah jambu, hitam dan putih.

“Semasa saya masih kecil, kami akan menggunakan herba, sayur-sayuran atau buah-buahan untuk mewarnakan telur-telur tersebut. Contohnya, untuk mendapatkan warna merah jambu, kami akan menggunakan kulit bawang.

“Namun, kerana dunia sudah moden, kami kini hanya menggunakan pewarna serbuk bagi mewarnakan telur-telur tersebut,” ujar Khala, 38.

Menurutnya, orang ramai kemudian akan berkumpul dengan membawa telur-telur yang diwarnakan itu di sebuah taman atau mana-mana kawasan terbuka untuk menyertai ‘perang telur’ yang dikenali sebagai tokhm-jangi.

Tokhm-jangi dimainkan dengan penduduk lelaki cuba untuk memecahkan telur rebus pihak lawan dan pada masa yang sama memastikan telur rebus milik mereka tidak pecah.

Begitulah bentuk hiburan yang menjadi tradisi masyarakat di Afghanistan tatkala memeriahkan perayaan Aidilfitri. Malah, tradisi itu juga merupakan antara tradisi lebaran yang dianggap paling unik di dunia.

Apabila tiba Syawal, umat Islam di seluruh dunia meraikan Aidilfitri. Bahkan, ketika bilangan umat Islam hari ini semakin bertambah kepada hampir dua bilion, kemeriahan hari raya semakin menjalar ke seluruh pelosok global.

Kita di Malaysia dan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Singapura mempunyai budaya tertentu yang diamalkan ketika menyambut Aidilfitri, begitu juga masyarakat di rantau lain yang turut mempunyai tradisi tersendiri dalam memeriahkan Syawal selain menunaikan amalan serupa seperti ibadah solat sunat hari raya dan ziarah menziarahi.

Bukan sahaja Afghanistan, beberapa negara lain turut menyambut Aidilfitri dengan cara tertentu.

Sebagai contoh, Arab Saudi yang merupakan hab kepada sambutan Aidilfitri bagi umat Islam dari seluruh dunia kerana bandar Mekah dan Madinah menjadi tumpuan utama bagi jemaah umrah pada bulan Ramadan sehingga hari raya turut tidak terkecuali.

Tradisi sambutan Aidilfitri di Arab Saudi juga tidak kurang uniknya, khususnya bagi kanak-kanak.

BERBANDING menerima duit raya, kanak-kanak di Arab Saudi menerima hadiah atau
gula-gula.

Selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri dan bersarapan, kanak-kanak akan menerima hadiah berupa wang tunai atau bungkusan mengandungi permainan atau gula-gula daripada ibu bapa atau ahli keluarga yang lebih dewasa.

Menurut seorang warga tempatan, Madiha Seif, 72, pemberian yang dipanggil eidiyah itu akan diberikan kepada tetamu atau ahli keluarga selepas selesai bersarapan.

“Ia merupakan tradisi yang sudah begitu lama diamalkan di mana orang dewasa akan memberikan hadiah yang mahal kepada kanak-kanak,” kata Seif.

MASYARAKAT Turki mempunyai amalan bersalaman yang agak unik di mana anak-anak meletakkan tangan ibu bapa atau orang tua yang disalam pada dahi.

Bercerita tentang tradisi Aidilfitri di Turki pula, seorang penulis, Nur Seyda Kapsiz berkata, golongan muda akan bersalam dengan individu yang lebih tua dengan meletakkan tangan mereka di dahi.

“Pada musim perayaan, individu yang lebih muda akan bersalam dengan ahli keluarga atau individu yang lebih berusia dengan cara sebegitu sebagai tanda hormat.

“Kami akan mengucapkan bayramınız kutlu atau mübarek olsun yang bermaksud semoga perayaan anda diberkati.

“Selepas itu, kanak-kanak akan diberikan wang atau manisan sebagai ganjaran atas penghormatan itu,” katanya.
Selain tradisi bersalaman di pagi raya, Aidilfitri di Turki turut dikenali sebagai Seker Bayrami yang bermaksud festival manisan.

Tradisi bagi festival ini adalah dengan memberikan kanak-kanak manisan seperti baklava iaitu sejenis pastri popular di Turki yang merupakan manisan diperbuat daripada kekacang yang dibalut dalam sapu tangan.

Ketika Aidilfitri juga, jalan-jalan di sekitar bandar-bandar di Turki akan dipenuhi dengan kanak-kanak yang akan ‘mengumpul’ manisan atau gula-gula yang diperoleh selepas berkunjung ke rumah jiran tetangga semasa Aidilifitri.

DI India, sambutan Aidilfitri bagaikan pesta inai bagi kaum wanitanya dalam memeriahkan kedatangan bulan Syawal.

Bagi masyarakat India dan Pakistan pula, malam sebelum sambutan Aidilfitri disambut penuh meriah menerusi acara Chaand Raat yang bermaksud malam bulan.

Pada malam itu, golongan wanita akan melukis inai atau henna pada tangan mereka bagi menandakan berakhirnya Ramadan.

Seterusnya, mereka akan membeli-belah dan makan sebelum menyambut bulan Syawal.

Salah satu acara kemuncak sambutan ini adalah pameran berskala kecil yang diadakan sama ada di kawasan kejiranan atau kawasan pameran yang menawarkan pakaian, barang kemas, barangan fesyen, permainan serta produk seni dan kraf.

Malah, di Pakistan khususnya di Karachi, acara Chaand Raat merupakan sebuah acara yang penuh meriah dan akan ditayangkan di televisyen.

Lebih menarik, perayaan Chaand Raat yang paling terkenal dikatakan bukanlah di India seperti yang ramai fikirkan.

Warga India yang menetap di Amerika Syarikat dan Australia dikatakan mempunyai sambutan Chaand Raat paling meriah, sekali gus membuktikan bahawa perayaan itu menjadi tradisi di mana pun di dunia.

Biarpun dengan tradisi yang penuh berbeza, Aidilfitri tetap disambut penuh meriah dengan semangat yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN