fbpx

Pungut wang di masjid tanpa kebenaran dilarang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Semua pihak dilarang memungut wang atau sumbangan lain di masjid, surau dan musolla bagi tujuan kepentingan Islam atau manfaat dan faedah bagi umat Islam tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad, larangan itu termasuk kepada individu atau kumpulan individu termasuk pemilik sekolah swasta Islam dan
mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau parti politik.

Katanya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan wujudnya individu atau pihak yang mengambil kesempatan di atas kemurahan hati umat Islam.

“Baginda bimbang terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk menggunakan wang sumbangan tersebut bagi kepentingan peribadi atau kekuasaan dan pengaruh.

“Selain itu, untuk menguatkan lagi kumpulan-kumpulan yang menyeleweng dari ajaran Islam sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan mana-mana individu yang membuat atau mengambil bahagian dalam apa-apa pungutan wang bagi maksud khairat dan manfaat agama Islam tanpa surat kebenaran MAIS adalah merupakan suatu kesalahan di bawah subseksyen 106 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 Pindaan 2018.

Jelasnya, sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Justeru, pihak pentadbir masjid, surau dan musolla tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam kutipan khairat bagi apa-apa tujuan oleh mana-mana pihak selain untuk tujuan dan manfaat kepada institusi tersebut yang berada dibawah pentadbiran masing-masing.

“Pada masa sama, terimaan dan perbelanjaan wang atau sumbangan yang sah hendaklah diaudit dan laporkan kepada JAIS,” katanya.-KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI