KUALA SELANGOR – Laluan kedua-dua arah di Jalan Klang-Teluk Intan di sini, dijangka mengalami kesesakan selama tiga hari bermula esok.
Kesesakan akibat pertambahan jumlah kenderaan itu akan berlaku antara pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Ambia Nordin berkata, aliran trafik dijangka perlahan di sepanjang laluan dua arah tersebut.
Katanya, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan teruk.
“Pengguna arah Klang menghala Teluk Intan, Perak boleh menggunakan Laluan 54, Jalan Kelab Golf, Jalan Kuala Selangor-Rawang, Jalan Kampung Hang Tuah, Jalan Timur Tambahan dan Susur Keluar Bukit Tagar.
“Bagi pengguna arah Teluk Intan ke Klang, mereka boleh melalui Jalan Parit 4-Jalan Terusan Utama, Jalan Tanjong Karang- Rawang, Jalan Raja Musa, Jalan Kuala Selangor-Rawang, Ijok dan Meru,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ambia, pihaknya menasihatkan pengguna jalan raya berwaspada memandu dan mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan. -KOSMO!ONLINE