fbpx

Lagi kereta dipecah di tanah kubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Perodua Axia itu yang dipecah penjenayah.

KLANG- Niat seorang wanita menziarahi pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang di sini, bertukar malang apabila kereta Perodua Axia miliknya dipecah penjenayah di perkarangan kawasan itu, semalam.

Kejadian antara pukul 4 hingga 5 petang itu mengakibatkan mangsa berusia 34 tahun kehilangan beberapa barangan termasuk wang berjumlah RM1,200.

Ia merupakan insiden kedua berlaku selepas melibatkan seorang ahli perniagaan di sebuah tanah perkuburan lain di sekitar daerah ini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa mengenai kejadian yang tular di media sosial itu pukul 6.48 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika wanita itu bersama ibunya meletakkan kenderaan di dalam perkarangan tanah perkuburan tersebut.

“Sejurus selesai menziarah pusara bapanya, mangsa melihat cermin kereta bahagian depan sebelah kiri telah dipecahkan.

“Mangsa kemudian mendapati beg tangan miliknya dan ibunya yang berada di dalam Axia berkenaan turut hilang,”  katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Vijaya Rao, barangan yang dilaporkan hilang antaranya dua telefon bimbit, dokumen pengenalan diri, satu loket emas dan wang RM1,200.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek terlibat.

“Saksi awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian dimohon tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI