fbpx

Lelaki maut dilibas anak saudara dengan pisau pemotong rumput

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MANJUNG – Gara-gara perselisihan faham, seorang lelaki maut selepas dilibas dengan pisau pemotong rumput oleh anak saudaranya di sebuah rumah di Sitiawan dekat sini awal pagi tadi.

Mangsa berusia 51 tahun yang parah pada bahagian kaki kiri meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Seri Manjung (HSM).

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, seorang wanita berusia 26 tahun membuat laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 4 pagi.

“Siasatan awal mempercayai mangsa yang dalam keadaan mabuk bergaduh dengan suspek berusia 34 tahun di hadapan rumah kerana perselisihan faham.

“Pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwanya memburukkan namanya dalam kalangan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kemuncak pada pergaduhan itu suspek didakwa mengambil mesin pemotong rumput lalu melibas ke arah kaki kiri mangsa dan mengakibatkan kecederaan serius.

Jelasnya, mangsa dibawa ke HSM dan semasa dalam perjalanan lelaki itu tidak sedarkan diri sebelum doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

Nor Omar memaklumkan, suspek sudah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Semakan polis mendapati mangsa yang tidak bekerja mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau melibatkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Suspek pula yang bekerja sebagai mekanik motosikal juga mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI