KEMERIAHAN Aidilfitri yang menjelma begitu dirasai tatkala melihat deretan buluh yang berisi lemang sedang dibakar di atas tempat pembakaran.
Biarpun terik mentari pagi membakar bumi, namun Muhammad Suib Othman tekun membalik-balikkan batang buluh berisi lemang demi memastikan juadah perayaan yang dijual kedua-dua ibu bapanya, Osman Mohd. Nasir dan Siti Zainab Karim itu masak dengan sempurna.
Bagi pemuda berusia 21 tahun itu, alah bisa tegal biasa. Mana tidaknya, setiap kali tibanya musim perayaan, itulah antara tugasan yang dilakukan usai solat Subuh bagi membantu kedua-dua ibu bapanya yang merupakan pengusaha Lemang Raya Cuman sejak belasan tahun lalu.
Merupakan antara juadah pelengkap Aidilfitri, agak janggal perayaan tanpa hidangan lemang di atas meja.
Seperti kebiasaan, selain ketupat, lemang pulut merupakan juadah yang begitu popular bagi masyarakat di negara ini setiap kali tibanya musim perayaan. Dimakan bersama aneka lauk-pauk seperti rendang, serunding dan ayam masak merah, menu tersebut sememangnya tidak lapuk ditelan zaman.
Bagaimanapun, di sebalik populariti lemang pulut yang sering disebut-sebut ini, mungkin ramai yang tidak tahu akan kewujudan lemang tepung.
Sama seperti lemang pulut, lemang tepung yang lebih signifikan sebagai juadah ‘orang dulu-dulu’ ini dihasilkan daripada lapisan daun pisang sebelum dimasukkan ke dalam buluh. Begitupun, apa yang membezakan lemang tepung dan pulut ialah lemang tepung dibuat menggunakan tepung, santan dan daun pandan ataupun gula merah.

Mempunyai tekstur rasa yang manis dan berlemak, lemang tepung boleh dikategorikan sebagai kuih-muih.
“Ramai yang menunjukkan riak muka pelik apabila melihat ataupun mendengar mengenai lemang tepung kerana majoriti daripada mereka tidak pernah tahu, mahupun didedahkan dengan juadah tradisional ini.
“Lemang tepung pandan yang berwarna hijau rasanya seperti kuih bingka, manakala lemang pulut gula melaka yang berwarna coklat pula mirip kuih kaswi. Lemang ini dimakan begitu sahaja tanpa lauk pauk seperti lemang pulut.
“Dahulu lemang ini agak terkenal dan popular di Negeri Sembilan dan Perak. Bagaimanapun, seiring dengan peredaran waktu, lemang ini semakin dilupakan,” kata Osman memulakan bicara.
Akuinya, disebabkan jarang dihasilkan, kewujudan lemang ini semakin tenggelam ditelan zaman. Atas faktor itu jugalah, lemang ini jarang atau tidak dijual secara terbuka dan dikategorikan sebagai antara juadah yang semakin pupus.
Didedahkan dengan dunia pembuatan lemang sejak kecil, menyebabkan Osman terpanggil untuk memelihara dan mempromosikan lemang tepung kepada masyarakat hari ini terutamanya generasi muda, biarpun penjualan lemang tepung agak sukar ditemui.
“Pada zaman dahulu, tidak lengkap penghasilan lemang jika tiadanya lemang tepung.
“Jika diikutkan sejarah, penghasilan lemang tepung seperti apa yang saya tahu, ia terhasil daripada lemang pulut biasa. Pada zaman dahulu kehidupan agak sukar, mereka mencari kaedah untuk mengelakkan pembaziran.
“Berbekalkan lebihan santan dan buluh sewaktu penghasilan lemang pulut, mereka mendapat ilham membancuh bancuhan tepung bersama santan yang diletakkan sedikit gula merah atau daun pandan sehingga terhasilnya lemang tepung,” kongsinya.

Dari pandangan mata kasar, penghasilan lemang mungkin tampak mudah. Realitinya, ia memerlukan kemahiran dan kecekapan baik dari segi penyediaan bancuhan mahupun pengendalian lemang pada api ketika dibakar.
Ini kerana, jika tersilap langkah, lemang tepung yang dihasilkan berpotensi untuk tidak masak ataupun hangit, seterusnya tidak boleh dimakan.
“Juadah ini ringkas dan tidak banyak bahan, tetapi sukar untuk dihasilkan.
“Sebelum ini, ada tiga individu yang mahu belajar cara penghasilan lemang tepung dengan saya. Tetapi apa yang boleh saya katakan, lemang ini memerlukan individu untuk bersungguh serta tidak ‘melanggar’ resipi dan perlu mengikut satu per satu yang diajarkan.
“Ia sangat rumit dan paling kurang sekalipun, mereka perlu belajar sebanyak tiga kali pembakaran supaya dapat memahami keseluruhan proses penghasilan lemang tepung.
“Bagi menghasilkan lemang, ia tidak boleh ala kadar dan sekadar ikut-ikutan sahaja, kelak juadah yang dimasak pasti tidak akan menjadi,” tambahnya.
Bercerita lanjut, menurut Osman lagi, lemang tepung biasanya menggunakan ruas buluh lebih kecil iaitu di penghujung batang. Ini kerana, jika ia dihasilkan menggunakan ruas buluh yang besar seperti lemang pulut, risiko lemang untuk tidak masak adalah sangat tinggi.
Bukan itu sahaja, tahap kepekatan bancuhan tepung juga perlu disukat dengan betul.
“Rasanya seperti kuih tetapi bezanya, ia tidak menggunakan telur. Mungkin disebabkan itu jugalah, ia lebih enak.
“Jika diikutkan, lemang tepung dan pulut biasa lebih kurang sama sahaja, tetapi dari segi kaedah pembakaran, lemang tepung lebih memerlukan ketelitian dan bancuhannya pula perlu tepat serta tidak boleh terlalu pekat mahupun cair bagi mengelakkannya tidak menjadi,” terangnya.
Tambahnya, disebabkan manisan tersebut menggunakan tepung, tempoh pembakarannya menjadi lebih cepat berbanding pulut biasa.
“Jika lemang pulut paling kurang pun akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam untuk masak dengan sempurna, tidak berkerak, lembut dan pecah minyak.
“Bagaimanapun, lemang tepung pula hanya mengambil masa kira-kira dua jam setengah sahaja. Sepanjang tempoh pembakaran, ia perlu diawasi kerana jika terlalu panas, tepung akan ‘melompat’ keluar dari buluh dan lemang tidak menjadi.
“Biasanya jika keadaan tersebut berlaku, buluh perlu ‘direhatkan’ seketika daripada tempat pembakaran sehingga tepungnya kembali masuk ke dalam buluh dan dibakar semula sehingga masak,” jelasnya.

– Foto AMIR KHALID
Ujarnya lagi, secara keseluruhan, proses pembuatan lemang tepung mengambil masa antara lima jam bermula dari kaedah penyediaan sehinggalah dihidangkan.
“Lemang ini selalunya dimakan ketika sudah sejuk. Biasanya ia boleh bertahan sehingga dua hari dan jika lemang sudah dipotong, tahap ketahanannya akan berkurangan.
“Disebabkan bahan pembuatannya tidak begitu banyak, jadi ia tidak menelan kos yang besar. Untuk itu, saya menjualnya pada harga RM10 sahaja,” katanya.
Menurut Osman, mengusahakan perniagaan lemang bersama isterinya, Siti Zainab sejak belasan tahun lalu dibuat hanya di bulan Ramadan.
Bagaimanapun, kerana mahu memastikan hidangan warisan itu tidak terus hilang ditelan zaman, dia mula menjual lemang setiap hari di pasar malam berdekatan rumahnya di Rinching Hilir, Kajang, Selangor.
Ujar bapa kepada lima orang cahaya mata itu, ia dilakukan bagi mempromosikan lemang dalam kalangan masyarakat di negara ini terutamanya generasi muda pada hari ini.














