fbpx

Sejuta ahli Keluarga Malaysia disasar dilindungi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika menyampaikan ucapannya sempena Hari Pekerja 2022 hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya sejuta ahli Keluarga Malaysia yang bekerja sendiri mendapat enam perlindungan insurans di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Beliau berkata, di bawah program itu, kerajaan akan menanggung sebanyak 80 peratus daripada jumlah yang perlu dicarum oleh individu terbabit.

Menurutnya, kerajaan juga bersetuju untuk mewajibkan penyediaan Taska Tempat Kerja di setiap sektor awam kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun sebelum ia diperluaskan ke sektor swasta.

“Kerajaan menyediakan geran tahunan RM10 juta pada tahun 2019 dan RM30 juta sejak tahun 2020 bagi inisiatif ini yang akan memberi kelegaan kepada pekerja yang mempunyai anak kecil,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Hari Pekerja 2022 yang disiarkan di TV1 RTM hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan melaksanakan Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia, MyEzCover.com mulai hari ini.

Menurut beliau, ia adalah pakej pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan tanpa sebarang caj faedah, ditawarkan kepada penjawat awam sebelum diperluaskan kepada sektor swasta.

“Program ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Perkeso dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). ” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa hari ini merupakan hadiah kepada golongan pekerja atas dedikasi yang tanpa jemu membangunkan ekonomi negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan bertegas dalam melindungi hak pekerja tempatan dan asing terutamanya isu berkaitan buruh paksa.

“Sehubungan itu, kerajaan telah meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai bukti komitmen kerajaan untuk menghapuskan buruh paksa di negara ini.”

“Ratifikasi ini satu tindakan proaktif kerajaan dalam memastikan produk dan barangan Malaysia tidak lagi dikenakan sekatan masuk ke pasaran antarabangsa kerana didakwa menggunakan buruh paksa dalam pengeluaran barangan negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI