GUA MUSANG – Laluan memasuki bandar Gua Musang mula sesak dengan kenderaan sejak pagi tadi dan keadaan itu dijangka berlarutan sehingga sehari sebelum satu Syawal.
Seorang guru dari Raub, Pahang, Hafiza Mahmud, 34, berkata dia memilih dua hari sebelum hari raya untuk pulang ke kampungnya di Pasir Puteh.
Katanya, laluan trafik di semua jalan utama perlahan apabila kenderaan semakin bertambah.
“Saya bertolak dari Raub kira-kira pukul 7 pagi tadi namun, berhenti di beberapa lokasi sebelum berehat sebentar di bandar ini pada pukul 11 pagi.
“Saya bersyukur apabila tiba dengan selamat di Gua Musang dan tidak dapat menjangka berapa jam perjalanan lagi untuk tiba di Pasir Puteh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, bilangan kenderaan memasuki bandar Gua Musang semakin bertambah hari ini.
Katanya, kesesakan dikesan berlaku di persimpangan lampu isyarat dan jalan utama Gua Musang-Kuala Krai.
“Bagi melancarkan lalu lintas, anggota trafik telah ditempatkan di lampu isyarat itu dan rondaan bermotosikal telah dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE