KUANTAN – Kejadian kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di Permatang Badak di sini dilihat berkemungkinan berpunca daripada letupan apabila tidak banyak kesan kebakaran yang ditemukan dalam tragedi yang meragut nyawa seorang kanak-kanak berusia dua tahun semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati terdapat lebih banyak kesan kemusnahan seperti rumah yang hancur dan bumbung runtuh dalam kejadian itu.
“Kita percaya kejadian berpunca daripada sebuah rumah yang musnah teruk seratus peratus manakala rumah sebelah mengalami kerosakan kesan daripada (letupan) rumah itu.
“Bagaimanapun kita masih mengenalpasti punca sama ada ia bermula dengan kebakaran yang mencetuskan letupan atau letupan dahulu sebelum kebakaran,”katanya di sini hari ini.
Semalam dipercayai angkara mercun dan bunga api, seorang budak lelaki berusia dua tahun ditemukan rentung, manakala lima lagi melecur dan cedera dalam kebakaran serta letupan dahsyat yang memusnahkan dua buah rumah di Jalan Permatang Badak Perdana 2, Kuantan.
Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu ialah Asliki Mohd Saupi yang berumur dua tahun manakala empat lagi mangsa termasuk ibu bapa kanak-kanak itu dan seorang bayi mengalami kecederaan.
Menurut Wan Mohammad Zaidi pasukan forensik masih melakukan siasatan di lokasi kejadian dan siasatan dilakukan secara menyeluruh bagi mengenalpasti punca kejadian.
Katanya, meskipun menemukan bunga api pihaknya masih menyiasat sama ada ia berpunca daripada bunga api dan mercun yang disimpan di rumah berkenaan.
“Kita tidak boleh sahkan ia berpunca daripada mercun lagi kerana siasatan masih diteruskan dan pihak bomba juga tidak dapat menemubual mangsa yang masih dirawat di hospital,”katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pada masa ini mangsa yang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan berada dalam keadaan stabil.
Ujarnya, siasatan dilakukan pihak bomba bagi mengenalpasti punca kejadian dan jumlah kerugian akibat kejadian itu. -KOSMO! ONLINE














