fbpx

Pekerja paling setia bekerja di syarikat sama selama 84 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WALTER Orthmann berusia 100 tahun ketika menerima pengiktirafan oleh Guinness World Records. - Guinness World Records

BRUSQUE, BRAZIL – Buku Guinness World Records mengisytiharkan seorang lelaki berusia 100 tahun di Brazil sebagai pekerja paling setia di dunia kerana bekerja di syarikat sama selama 84 tahun, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.

Walter Orthmann mula bekerja di syarikat tekstil Industries Renaux S.A. (kini RenauxView) yang terletak di bandar Brusque, negeri Santa Catarina pada 17 Januari 1938 ketika dia berusia 15 tahun.

Dia bermula sebagai seorang pembantu di jabatan penghantaran dan memegang jawatan itu selama bertahun-tahun sebelum dinaikkan pangkat menjadi pembantu tadbir dan akhirnya pengurus jualan.

Orthmann mengikuti lawatan jualan di serata dunia sepanjang kerjayanya selama 84 tahun. Dia pernah menerima gaji dalam sembilan mata wang berbeza dan menggunakan hampir setiap syarikat penerbangan komersial dalam sejarah penerbangan di Brazil.

“Anda mesti suka untuk bekerja. Saya mula bekerja dengan kesanggupan dan semangat juang. 

“Anda tidak boleh hanya melakukan apa-apa kerja untuk berkata bahawa anda sedang bekerja, itu tidak berhasil. Anda tidak akan bertahan,’’ jelas Orthmann ketika ditanya apa yang membuatkan dia bertahan selama lebih lapan dekad.

Pada Februari lalu, nama Walter Orthmann secara rasmi direkodkan dalam buku Guinness Book of Records kerana mempunyai kerjaya paling lama dalam syarikat yang sama selama 84 tahun dan 9 hari.

Pada 19 April lalu, Orthmann sudah berusia 100 tahun tetapi dia tidak bercadang untuk bersara daripada satu-satunya syarikat yang dia pernah bekerja. 

“Jangan marah, lakukan segala-galanya dengan gembira. Buat apa yang anda suka buat. Saya suka bekerja di sini dan tiada musuh. 

“Hidup  dengan tenang karena hidup ini hanya satu persinggahan di Bumi. Nikmatilah dan lakukan apa yang anda mahu,’’ kata Orthmaan ketika ditanya tentang nasihatnya kepada  mereka yang mahu kekal aktif dan bekerja sehingga lanjut usia. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI