fbpx

Kerjasama Nanostix, SIRIM hasilkan peranti selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peranti vape Nanostix melalui ujian yang ketat untuk memastikan ia selamat digunakan sebelum dijual kepada pelanggan.

PETALING JAYA – Selaras dengan arahan terbaharu pihak berkuasa yang mewajibkan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd. (SIRIM), Nanostix Innovations Sdn. Bhd. (Nanostix) akan memastikan semua produknya mempunyai kelulusan badan itu.

Pengarah Urusan NISB, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman berkata, langkah berkenaan diambil bagi memastikan semua peranti elektronik yang dihasilkan pihaknya selamat digunakan serta mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

Menurut beliau, walaupun kerajaan baharu mewartakan arahan tersebut, pihaknya sebenarnya telah lama menjalinkan kerjasama dengan SIRIM.

Shahabudeen

“Kerjasama ini bermula pada tahun 2019 apabila kami telah membuat ujian pada bateri peranti yang digunakan dalam Nanostix.

“Antara ujian yang dilakukan adalah pada sel bateri, kelasakan, tekanan haba, risiko kerosakan akibat pengecasan berterusan dan litar pintas.

“Hasil ujian tersebut mendapati, bateri yang digunakan pada peranti kami adalah selamat kepada pengguna,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Susulan daripada ujian tersebut, Shahabudeen berkata, pihak SIRIM telah mengeluarkan surat berserta sijil yang mengesahkan keselamatan bateri yang digunakan dalam peranti elektronik Nanostix.

Jelas beliau, ujian seperti itu penting agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini seperti letupan peranti semasa digunakan ataupun kebakaran akibat lebihan arus semasa pengecasan.

“Perkara seperti ini pernah berlaku ke atas beberapa peranti vape sebelum ini, sebab itu semua produk kami akan menjalani ujian bagi memastikan ia selamat digunakan sebelum dijual di pasaran.

“Selain ujian daripada pihak SIRIM, peranti Nanostix juga menjalani ujian di negara pembekal iaitu di China oleh pihak berkuasa sana dan agensi yang terlibat turut mendapat kerjasama serta diiktiraf oleh SIRIM.

“Jadi pengguna tidak perlu ragu tentang keselamatan peranti Nanostix kerana diperakui selamat oleh SIRIM dan pihak berkuasa di negara pembekal,”ujarnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, Nanostix sedang menjalin kerjasama dengan SIRIM untuk mengaudit pembekal dan melakukan ujian peranti bagi mendapatkan pelekat pengesahan keselamatan.

“Selepas ini, semua produk termasuk peranti keluaran Nanostix akan mempunyai pelekat SIRIM yang mengesahkan ia selamat dan telah menjalani ujian oleh agensi berkenaan.

“Keselamatan pengguna adalah keutamaan dalam operasi perniagaan kami. Pewartaan ini merupakan sesuatu yang memberi kebaikan kepada pengguna dan Nanostix menyokong penuh usaha perlaksanaannya,” kata beliau.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, pengeluar dan pengimport rokok elektronik atau peranti vape tempatan perlu memohon pensijilan dan pelabelan MS Sirim daripada Sirim QAS International Sdn. Bhd.

Perintah itu akan berkuat kuasa pada 3 Ogos depan.

Syarikat yang gagal mematuhi undang-undang baharu itu boleh dikenakan denda sehingga RM200,000, manakala kesalahan kedua atau berulang boleh didenda sehingga RM500,000.

Individu pula boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, menakala kesalahan kedua atau berulang boleh didenda sehingga RM250,000, penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI