LONDON – Bekas pemain terbaik Afrika, Victor Ikpeba melabelkan pemain pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger sebagai individu tidak profesional selepas memilih untuk tidak turun beraksi dalam dua perlawanan menentang West Ham United dan Arsenal sebelum ini.
Ikpeba merasakan, Rudiger tidak lagi wajar dipertimbangkan untuk mendapat peluang beraksi dalam baki saingan musim ini dan menganggap karier pemain itu di Stamford Bridge sudah pun berakhir lebih awal.
“Tindakan itu tidak profesional dan saya fikir khidmatnya bersama Chelsea sudah pun berakhir. Jika saya pengurus pasukan, saya tidak akan menurunkannya lagi selepas ini.
“Fokusnya kini bersama Real Madrid dan tidak ada lagi kesetiaan kepada Chelsea. Sebenarnya dia tidak patut melakukan perkara seperti ini kerana itu adalah tindakan yang sangat tidak wajar,” katanya.
Walaupun masih berhasrat untuk mengekalkan khidmat Rudiger, pengendali Chelsea, Thomas Tuchel sebelum ini pernah mendedahkan bahawa pemain itu akan meninggalkan Chelsea pada hujung musim ini selepas kontraknya berakhir.
Rudiger dijangka akan menyertai gergasi Sepanyol, Real Madrid dan pemain pertahanan Jerman itu dikatakan pada dasarnya sudah bersetuju dengan tawaran lumayan yang dikemukakan kelab itu.
Perpindahan tersebut bakal menamatkan karier Rudiger selama lima tahun di Stamford Bridge selepas melengkapkan perpindahan dari AS Roma pada 2017. – AGENSI