fbpx

Terbaik Raya Dayang, Hannah Delisha, Sophia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEHANGATAN Syawal kali ini memberi makna tersendiri buat tiga penyanyi, Dayang Nurfaizah, Hannah Delisha dan Sophia Liana apabila berpadu suara buat julung-julung kalinya membawakan lagu berjudul Raya Terbaik.

GABUNGAN tiga penyanyi yang mempunyai kepelbagaian range vokal mampu menghasilkan sesebuah dendangan menarik, unik dan dramatik, khususnya dalam karya atau projek khas di musim perayaan.

Emosi tersebut dapat dirasai menerusi penyatuan Dayang Nurfaizah, Hannah Delisha dah Sophia Liana menerusi single raya berjudul Terbaik Raya.

Daripada satu sudut, penyatuan tersebut menyandingkan elemen muzik tradisional yang mengetengahkan konsep ceria dan membawa pendengar mengimbau kembali kemeriahan berhari raya di kampung, selain kegembiraan meraikannya dengan orang tersayang. Perkara itu diakui sendiri oleh penerbit lagu Terbaik Raya, Banni Basyishar.

Menurutnya, perwatakan dan kekuatan vokal tiga penyanyi itu berbeza, namun memberikan mood tersendiri, sekali gus menjadikannya berbeza berbanding lagu raya lain.

“Garapan muzik inang, joget dan sedikit koplo pada bahagian korus yang membolehkan rentak tradisional menjadi semakin unik, diiringi alat muzik dan bunyi moden.

“Sudah lama lagu raya tidak menampilkan muzik sebegini dan bagi saya, ini satu kelainan dan keistimewaan,” ujarnya.

BUAT perrtama kali, tiga penyanyi wanita ini digandingkan dalam sebuah projek lagu raya berjudul Terbaik Raya. – Foto UNIVERSAL MUSIC

Bagi Dayang, Terbaik Raya disifatkan sebagai nukilan yang menyeronokkan halwa telinga, terutamanya menerusi penceritaan seni kata.

“Lagu ini sangat fun dan kalau tengok liriknya, ia lebih menunjukkan kepada suasana hari raya yang sudah dua tahun kita tidak dapat raikan secara meriah.

“Harapan saya kepada sesiapa saja yang mendengar lagu ini, terutama peminat saya, mereka dapat merasai aura menyambut lebaran bersama keluarga tercinta,” katanya.

Berkongsi mengenai gabungan suara dengan Hannah dan Sophia, Dayang berkata, proses rakaman berjalan lancar dengan keserasian antara mereka begitu terserlah.

“Proses rakaman berlangsung sempurna dengan masing-masing menjayakan bahagian tertentu. Saya masuk studio terlebih dahulu, manakala Hannah dan Sophia merakamkannya kemudian.

“Sebelum memulakan rakaman, saya berjumpa dengan Hannah sebab nak tengok bahagian mana sesuai untuk kami. Jadi, proses rakaman lagu ini sangat mudah,” katanya.

Penggambaran video muzik (MV) lagu tersebut juga berlangsung dalam suasana cukup meriah, sama seperti yang digambarkan dalam liriknya.

MENERUSI lagu Terbaik Raya, Hannah Delisha (kiri), Dayang Nurfaizah (tengah) dan Sophia Liana menyuntik keterujaan dan kemeriahan menyambut Syawal pada tahun ini.

“Penggambaran MV ambil masa lama sebab membabitkan tiga artis, selain kita cuba tunjukkan suasana Syawal yang disambut meriah dan diraikan bersama keluarga.

“Kami cuba sampaikan sama seperti dalam lirik. Secara keseluruhan memang seronok walaupun penat,” katanya.

Bagi Hannah, hasil kerjasama mereka bertiga dilihat sebagai lagu raya yang segar, sekali gus mampu menarik perhatian pencinta muzik tanah air.

“Ini adalah lagu raya. Sudah tentu ia menceritakan detik gembira yang kita semua alami semasa menyambut hari raya iaitu momen berkumpul dengan keluarga dan rakan-rakan.

“Jadi, lagu ini memberikan aura menyeronokkan, segar dan sangat menarik. Tambahan pula, ini kolaborasi pertama saya dengan dua penyanyi berbakat dalam industri muzik,” kongsi pelakon itu.

Pada masa sama, Sophia selaku komposer bersama lagu Raya Terbaik berbangga apabila diberi peluang menjayakan projek berkenaan dengan penghibur hebat seperti Dayang dan Hannah.

DAYANG berharap pendengar dapat merasai aura meriah raya menerusi Terbaik Raya.

“Saya sangat bangga, ini adalah lagu raya pertama saya. Lebih bermakna apabila diberi peluang berpadu suara dengan Dayang dan Hannah.

“Sejujurnya, saya sangat teruja menjayakan projek ini serta tidak sabar menunggu maklum balas pendengar,” katanya.

Menurut anggota DeFam itu lagi, ketika proses praproduksi, dia berdepan cabaran menghasilkan bahagian rap dalam lagu tersebut.

“Agak sukar mencari melodi rap sebab lagu raya kena ceria dan mudah didengar.

“Nak cari melodi supaya orang terima rap dalam lagu ini agak sukar, namun akhirnya saya jumpa juga apa dihajati.

SOPHIA menghadapi cabaran mencari melodi rap untuk lagu Terbaik Raya.

“Saya ambil masa sehari untuk siapkan bahagian saya. Ada juga input daripada komposer Mike Chan untuk ditambah sedikit pada bahagian hujung korus.

“Bagi MV pula, cabarannya kerana berpuasa. Kita jadi cepat dahaga dan penat, namun kuatkan diri hingga penggambaran dari petang hingga sahur dapat disiapkan.

“Kami cuba juga habiskan dengan tenaga dan positiviti yang ada. Tetapi perkara yang paling menarik adalah, saya dapat bekerja dengan Dayang dan Hannah untuk siapkan lagu ini,” imbas komposer muda tersebut.

Raya Terbaik kini sudah tersedia dalam semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.
Tayangan MV lagu itu dijadualkan pada Jumaat ini pukul 9 malam.

HANNAH gembira berpeluang menjalin kolaborasi dengan Dayang dan Sophia.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI