fbpx

Selisih faham angkara wang punca bapa tetak anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarul Rizal.

BALIK PULAU – Perselisihan faham berkaitan wang disyaki punca seorang bapa berusia 40-an tergamak menetak anak kandung sendiri dengan menggunakan senjata tajam di rumah mereka di Kampung Teluk Awak, Teluk Bahang di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, anak kandung yang berusia 20-an mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan selepas diserang suspek.

Difahamkan, sebelum suspek menyerang anaknya, berlaku perselisihan faham antara mereka melibatkan wang yang menyebabkan suspek naik berang lalu menyerang serta menetak anaknya itu dengan senjata tajam.

Susulan kejadian itu, suspek yang bekerja sendiri ditahan selepas penduduk kampung melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa yang cedera akibat ditetak itu telah dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan lanjut.

“Bertindak berdasarkan laporan yang diterima, polis telah menahan suspek berusia 40-an kerana disyaki menetak anaknya dan suspek kini direman bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian saringan awal mendapati suspek negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI