“SUDAH terlalu banyak yang maut, kerugian harta benda dan cacat anggota kerana terlibat dalam kemalangan disebabkan struktur jalan tidak elok.
“Itu belum dikira nasib balu dan anak-anak mangsa yang kehilangan punca pendapatan. Mereka sepatutnya mempunyai masa depan lebih cerah.
“Adanya kami di sini adalah untuk menjadikan jalan raya di negara ini lebih selamat melalui penambahbaikan kualiti,” luah Azlan Sani Zawawi.
Isu kemalangan disebabkan struktur jalan berlubang di negara ini bukanlah satu masalah baharu.
Bahkan, tahun lalu Polis Selangor melaporkan, sebanyak 222 kemalangan direkodkan berpunca daripada keadaan fizikal jalan raya tidak sempurna, termasuk jalan berlubang dan rosak sepanjang 2018 hingga 2020.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, berdasarkan statistik, daripada jumlah itu, 148 kes melibatkan kemalangan maut.
“Sebanyak 116 kes membabitkan penunggang motosikal, 26 kes pemandu kereta dan bakinya pemandu lori,” katanya.
Justeru, atas dasar mahu menyelamatkan nyawa dan harta benda pengguna jalan raya setelah ramai kenalannya maut disebabkan jalan rosak, Azlan Sani yang merupakan seorang aktivis dan penggiat seni nekad menubuhkan Ikatan Silaturrahim Brotherhood (Brotherhood).

Bukan calang-calang, pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan isu jalan raya berkualiti dan selamat ini pernah bekerjasama dengan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bagi mendapatkan sijil kaedah turapan buat ahli-ahlinya di seluruh Semenanjung.
Kini mereka bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) di bawah Kementerian Pengangkutan bagi beberapa ujian bahan turapan dan kempen keselamatan jalan raya.
Ditubuhkan pada 2007, pertubuhan itu mempunyai keanggotaan aktif lebih 500 orang di seluruh negara yang kesemuanya bertanggungjawab menurap jalan berlubang sekitar Semenanjung termasuk Sarawak secara sukarela.
Menurut pemuda yang lebih dikenali sebagai Lando Zawawi itu, selain memfokuskan penurapan jalan berlubang, mereka juga memperjuangkan nasib pengguna jalan raya menerusi kempen keselamatan jalan raya secara kreatif.
Biarpun latar belakangnya sebagai anak seni, namun itu tidak menghalang Lando Zawawi daripada meneruskan misinya itu.
Komited dalam membantu pengguna jalan raya ditimpa musibah ekoran jalan berlubang, pemuda ini sanggup menimba ilmu dan pengalaman kaedah penurapan jalan di dalam dan luar negara.
Hasil daripada ilmu yang diperoleh itulah, pemuda berusia 47 tahun itu kemudian menurunkannya kepada ahli-ahli lain.

Berkongsi lanjut, menurut Lando Zawawi, pertama kali melakukan proses penurapan jalan, dia tidak lari daripada perasaan kekok memandangkan tidak pernah melakukannya sebelum ini.
Apatah lagi pada waktu itu dia masih aktif bergelar penerbit dan pelakon.
“Ramai yang menegur apabila melihat saya dan isteri berada di atas jalan pada waktu malam untuk menampal lubang. Pada waktu itu, kami lakukannya di jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur.
“Di awal penglibatan, kami hanya membuat penanda pada jalan terlibat dan meletakkan pasir supaya individu peka. Bagaimanapun, bermula tahun 2010, barulah kami mula menurap lubang-lubang tersebut,” ujarnya.
Akui Lando Zawawi, sepanjang terlibat dengan kerja-kerja itu, dia pernah dikecam, diugut dan ditahan pihak berkuasa. Bagaimanapun, kesemua kes tersebut tiada sabitan dan dia dilepaskan tanpa direman.
Biarpun begitu, usaha tersebut disifatkan sebagai momen paling manis dalam hidupnya. Lebih-lebih lagi apabila melihat kenderaan yang melalui kawasan tersebut tidak lagi perlu mengelak secara mengejut.
Menurut Lando Zawawi, selain struktur jalan berlubang, pihaknya mendapati, beberapa masalah lain turut menjadi dilema pengguna jalan raya.
Antaranya, garisan jalan semakin pudar, lampu jalan tidak menyala, perparitan sering tersumbat dan rosak sehingga berlaku banjir kilat serta kerja pengelenggaraan tidak berkualiti.
Biasanya, menurut Lando Zawawi, proses penurapan jalan dilakukan pihaknya selepas aduan kepada pihak berkuasa tidak mendapat maklum balas dalam tempoh tertentu.
Sekiranya tiada tindakan daripada pihak berwajib dalam tempoh tiga hari, Brotherhood akan membuat tanda dan memalam (menurap) lubang tersebut menggunakan bajet mereka sendiri.
“Kami mempunyai SOP (prosedur operasi standard) yang mana setiap kali aduan diterima Brotherhood, kami akan meminta pengadu memaklumkannya terlebih dahulu kepada pihak berkuasa.
“Kita ikut undang-undang berdasarkan Aku Janji Sifar Pothole Jabatan Kerja Raya dan piagam pihak berkuasa tempatan yang meletakkan tempoh 24 jam untuk memalam lubang selepas menerima aduan. Apabila aduan telah dibuat dan tiada apa-apa yang dilakukan, barulah kami ambil tindakan.
“Selalunya kami akan menanda dahulu jalan berlubang supaya pengguna peka, sementara menanti tindakan daripada pihak bertanggungjawab.
“Lubang itu kemudian akan diisikan dengan cold mix tar sebelum ditutup dengan patch yang berfungsi untuk memperkuatkan turapan, terutamanya di lokasi-lokasi lopak. Usai jalan diturap, lambang Brotherhood akan dicat pada penurap bagi menandakan ia dilakukan oleh kami,” tambahnya.

Ujarnya, sepanjang terlibat dalam kerja-kerja penurapan, lubang-lubang yang diturap tidak pernah pecah kecuali jika terdapat masalah pada base jalan itu sendiri.
Menariknya, pertubuhan itu menggunakan tar jalan yang dihasilkan sendiri sejak 2012 untuk setiap kerja-kerja penurapan yang dilakukan.
“Tar ini dihasilkan dengan kerjasama Road System Resources yang menggunakan tar jenis cold mix dan ia bukan sahaja antara yang terbaik, tetapi juga menjimatkan kos.
“Tar ini digunakan oleh semua ahli Brotherhood bagi menjalankan kerja-kerja penurapan dalam memastikan ia memenuhi spesifikasi ditetapkan Jabatan Kerja Raya,” ulasnya.
Tidak memerlukan tenaga yang ramai, kerja-kerja itu boleh dijalankan oleh seorang ahli dan maksimum 10 orang bergantung kepada tahap keseriusan, keadaan trafik dan laluan di lokasi.
“Bagi lubang sederhana besar, kos yang dikeluarkan cuma RM35 untuk palam dan RM70 untuk turapan kekal.
“Kami cuma memerlukan masa sekitar seminit untuk menurap satu lubang,” jelasnya.















