fbpx
REKAAN hadapannya berimej garang dengan ciri aerodinamik yang menjadikan rupa parasnya seiring dengan kuasanya yang mengagumkan.

Prestasi puncak Ferrari 296 GTB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FERRARI 296 GTB (Gran Turismo Berlinetta) disifatkan sebagai jentera era baharu bagi jenama automotif berkenaan. Manakan tidak, jentera berlinetta ataupun coupe sukan (sports coupe) itu hadir dengan spesifikasi menakjubkan.

Jentera dua tempat duduk yang berevolusi daripada model dua tempat duduk Ferrari Maranello itu direka khusus bagi memastikan konsep ‘keseronokan di belakang stereng’ benar-benar dirasai pemandunya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd., Datuk Nik Hamdam Nik Hassan berkata, mereka berbesar hati memperkenalkan jentera serba canggih tersebut ke pasaran tempatan.

“Ferrari 296 GTB adalah sebahagian penting daripada barisan jentera elektrik era baharu Ferrari dan kini terus melakar pencapaian mengujakan sebagai jentera pacuan roda belakang dengan enjin V6 hibrid.

“Teknologi yang digandingkan dengan kuasa menakjubkan, selain rekaan menawan menjadikan 296 GTB begitu menarik dan kami gembira memperkenalkan model itu di pasaran Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jentera tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

JENTERA mewah sports coupe ini diinspirasikan daripada barisan model 1960-an.

Menjadikan 296 GTB begitu unik adalah jentera itu merupakan model pertama Ferrari yang menggunakan enjin V6 turbo 2.9 liter 120 darjah yang dipadankan dengan motor elektrik plug-in. Kuasa bagi enjin tersebut adalah 654hp.

Jentera tersebut mampu menjana kuasa maksimum sehingga 819hp dan tork puncak 740Nm menerusi gandingan motor elektrik berkenaan.

Kuasa itu turut dipadankan dengan transmisi dual-clutch (DCT) lapan kelajuan. Penggunaan enjin V6 serta transmisi DCT tersebut juga didapati pada jentera lain Ferrari seperti SF90 Stradale, Roma, Portfolio M dan SF90 Spider.

Menerusi enjin tersebut, jentera itu mampu mencapai kelajuan maksimum 330 kilometer sejam (km/j).

Ferrari 296 GTB juga mampu untuk mencapai kelajuan 100km/j dari titik pegun dalam tempoh 2.9 saat, manakala untuk mencapai kelajuan 200km/j dari titik pegun hanya mengambil masa 7.3 saat.

Berhubung ciri aerodinamik, aspek paling menyerlah bagi jentera tersebut adalah rekaan spoilernya. Ia direka khusus bagi memastikan 296 GTB mudah untuk dikawal serta breknya berfungsi dengan baik pada kelajuan tinggi.

Rekaan spoiler tersebut dipadankan dengan bampar jentera itu bagi menghasilkan rupa yang lebih garang.

KONSEP keseronokan di belakang stereng diterjemahkan menerusi model ini.

Satu lagi rekaan yang membantu dari sudut kawalan Ferrari 296 GTB adalah jarak antara rodanya.

Jurutera Ferrari memendekkan jarak antara roda bagi jentera itu sebanyak 50 milimeter (mm) berbanding model enjin mid-rear terdahulu.

Turut membantu dari sudut kawalan adalah penggunaan brek kaliper Aero dan power steering elektrik.

Selain itu, Ferrari 296 GTB juga menggunakan enjin V6 yang 30 kilogram (kg) lebih ringan berbanding enjin V8, bahkan jurutera Ferrari turut menggunakan material lebih ringan bagi tubuh jentera tersebut.

Ia sekali gus menjadikan berat keseluruhan direkodkan bagi Ferrari 296 GTB adalah 1,470kg.

Pemanduan roda belakang yang menggunakan motor elektrik tunggal turut membantu dalam memastikan jentera itu mencapai berat berkenaan.

Model tersebut juga merupakan jentera berlinetta paling kompak selepas Maranello.

KENDERAAN ini menggunakan enjin V6 hibrid.

Menariknya, falsafah penghasilan Ferrari 296 GTB diinspirasikan daripada barisan model sekitar 1960-an terutamanya 250 LM (1963).

Ciri rekaan paling menonjol bagi 296 GTB adalah di bahagian kabinnya. Ia dipadankan dengan cermin hadapan dengan gaya visor, yang telahpun digunakan pada beberapa model edisi terhad Ferrari seperti J50 dan P80/C.

Terdapat empat mod pemanduan bagi Ferrari 296 GTB iaitu eDrive, Hybrid, Performance dan Qualify.

Dalam pada itu, Ferrari 296 GTB memberi penekanan kepada gaya digital di bahagian dalamnya. Rekaan sedemikian mula diguna pakai menerusi jentera SF90 Stradale.

Bagaimanapun, rekaan minimalis diterapkan pada 296 GTB bagi memastikan ia selari dengan rupa luarannya.

Ferrari 296 GTB juga didatangkan dengan pakej Assetto Fiorani yang memberi penekanan kepada aspek kuasa dan prestasi.

Jentera ini hadir dengan tag harga yang sememangnya dijangka iaitu RM1,228,000.

Layari laman Facebook https://www.facebook.com/ferrari.nazaitalia untuk maklumat lanjut mengenai jentera terbaharu Ferrari ini.

POPULAR