fbpx
SEORANG penduduk Kampung Tengah, Muhammad Saiful Alim Badrulhisam mengunci pintu rumah sebagai langkah berjaga-jaga daripada ancaman etnik Rohingya yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Relau kelmarin.

Tahanan Rohingya gugat keamanan penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANDAR BAHARU – Insiden rusuhan yang mengakibatkan 528 tahanan Rohingya lolos te­lah memaksa lebih 44,000 penduduk di dua buah daerah di Kedah dan Pulau Pinang berkurung di dalam rumah kerana bimbang kemungkinan diancam tindakan agresif pendatang itu.

Rata-rata penduduk bertindak mengunci rumah, pagar dan kenderaan masing-masing selain saling bertukar-tukar maklumat sesama mereka jika ternampak kelibat mencurigakan di kawasan kampung.

Penduduk di tujuh buah kampung dan sebuah taman perumahan di Mukim Relau paling risau dengan rusuhan tersebut kerana berada dekat dengan Depot Imigresen Sementara itu yang menjadi lokasi kejadian pada pukul 4.30 pagi kelmarin.

Tujuh kampung terlibat ialah Kampung Tengah, Kampung Padang, Kampung 300 Kaki, Kampung Sungai Rambai, Kampung Kilang Batu, Kampung Ulu dan Kampung Paya Semambu serta satu kawasan perumahan, Taman Relau.

Imam Masjid An-Nur, Ishak Zakaria, 70, berkata, dia membuat pengumuman kepada jemaah selepas solat subuh supaya berhati-hati.

“Penduduk diminta kunci rumah, jangan biar terbuka kerana bimbang dimasuki tahanan yang masih bebas. Apa-apa boleh berlaku kerana mereka lapar dan mahu mencari perlindungan,” katanya ketika ditemui.

Semalam Kosmo! melaporkan, insiden rusuhan melibatkan 528 tahanan pada pukul 4.30 pagi itu dicemari tragedi berdarah apabila enam daripadanya maut dirempuh kenderaan ketika mereka cuba menyeberang lebuh raya.

Menurut Ishak, penduduk juga dinasihatkan supaya tidak me­ninggalkan kunci pada kenderaan dan jangan bertindak sendirian jika terserempak de­ngan tahanan kerana mereka agresif.

Seorang penduduk, Muhammad Khairuddin Othman, 29, berkata, dia terkejut apabila ternampak tiga lelaki keluar dari kawasan hutan dan melintas jalan dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 8 malam kelmarin.

“Mereka pakai seluar pendek dan kain pelikat. Seorang daripada mereka datang dekat sambil me­nunjukkan perut kerana mungkin lapar dan meminta makanan.

“Saya tunjuk isyarat tangan suruh dia tunggu dan terus hubungi rakan, namun dia bersama dua lagi terus melarikan diri ke kawasan hutan sebelum diberkas polis,” katanya.

Di Seberang Perai, penduduk Kampung Sungai Kechil Hilir, Nibong Tebal yang dikenali sebagai Zaila, 45, berkata, dia cemas apabila terbaca mengenai rusuhan itu di WhatsApp dan Facebook.

“Hari ini (semalam), saya de­ngar masih ada mereka yang ditangkap termasuklah di kawasan pekan Nibong Tebal. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang masih berlegar-legar di kawasan ini kerana terletak berdekatan dengan depoh tahanan imigre­sen tersebut.

“Saya risau saki baki yang belum ditangkap adalah mereka yang agresif dan licik melarikan diri berbanding mereka yang ditangkap dalam kumpulan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk Taman Bukit Panchor, Nibong Tebal, yang mahu dikenali sebagai Azman, 33, berkata, dia dan jiran-jiran mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengunci pintu pagar dan rumah serta sentiasa berada di dalam rumah.

“Walaupun kumpulan yang ditangkap semalam tidak melalui kawasan ini, kami tetap risau,” katanya.

Tinjauan Kosmo! di sekitar Nibong Tebal, Jawi, Kampung Lima Kongsi, Kampung Sungai Kechil Hilir semalam mendapati rata-rata penduduk mengunci pintu rumah, manakala kedai dan pasar segar beroperasi seperti biasa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN