fbpx

Anak Ameng memang pandai muzik, bijak belajar – A. Aida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penerbit terkenal, Datuk A. Aida tidak menafikan darah seni bekas suami, Ameng Spring mengalir dalam diri dua anaknya, Wan Az Aleesa dan Wan Az Evanatassha.

Bagaimanapun, A. Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang sendiri terkejut apabila anak keduanya, Evanatassha tular dalam TikTok disebabkan satu video menunjukkan kemahiran bermain gitar saling tak tumpah seperti bapanya.

“Sebenarnya, Natassha anak nombor dua, dia ada dunianya tersendiri. Dia biasa dalam bilik sahaja sedangkan bagi saya, dia pandai main gitar.

“Dia pandai menyanyi. Suara best. Sejak dulu ramai suruh saya ‘bodek’ dia jadi penyanyi, bintangi klip video dan sebagainya. Dia pernah janji nak bintangi klip video Sufian Suhaimi dua tahun lalu, tapi kemudian bila esok nak shoot, dia pandai cari alasan tak nak terlibat.

@azevanatassha

cuba teka lagu apa

♬ original sound – Azeva – Azeva

“Saya selalu membebel dia pandai main gitar, muka cantik dan suara sedap, buatlah album. Dia cakap ‘no, I don’t want’. Alasannya, dia kata apa yang dia buat untuk kepuasan diri sendiri dalam bilik,” kata penerbit drama Tanam Apa Tu Bang Aji kepada Kosmo! Online semalam.

Tambah A. Aida lagi, anaknya itu memang tidak mempunyai keinginan untuk bergelumang dalam dunia seni terutama menjadi seorang artis.

“Dia tak nak. Saya selalu bebel, Tuhan dah bagi anugerah, muka cantik, suara sedap sebab tak semua orang dikurniakan semua itu. Sayanglah tak guna pakai. Mama dah beranakkan kau. Lepas itu, aku tak dapat makan hasil (ketawa).

“Selalu bebel dan dia pun janji dah habis peperiksaan enam bulan dia ‘free’, dia pun tabur janji daripada tak buat apa-apa, saya minta dia ikut Sharon Paul (komposer).

“Jadi, sekarang ini dia selalu di studiolah dengan Sharon dan ajar anak saya menyanyi atau apa-apa sahajalah.

“Harapnya dia boleh terus bergerak ke hadapan sebab dia baik dengan Sharon. Saya minta Sharon pujuk dia sebab saya memang dah tak terdaya nak pujuk,” ujarnya.

Ditanya sama ada anaknya itu mendapat lampu hijau untuk terlibat dalam dunia muzik atau seni secara profesional, Aida tidak mempunyai masalah dan memberi kebenaran sepenuhnya.

“Saya tak kisah dan saya okey sahaja sebab macam saya cakap tadi, dia ada suara dan rupa serta pandai main gitar kot-kot boleh meletup.

“Sebenarnya, selain Natassha, anak seorang lagi iaitu Aleesa juga pandai menyanyi. Dua-dua anak Ameng memang pandai menyanyi,” katanya.

Sungguhpun begitu, tidak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, kedua-dua anaknya itu cemerlang dalam akademik.

“Alhamdulillah, Natassha belajar bidang akauntan. Yang sulung sambung peringkat sarjana bidang Gastroenterologi,” kongsi A. Aida. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI