fbpx

Skim harga maksimum 22 barangan berkuat kuasa 26 April ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (tiga kanan) menunjukkan tanda harga siling penetapan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena hari raya Aidilfitri 2022 di KPDNHEP Putrajaya di sini, hari ini.- FOTO: FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (HRP) 2022 akan berkuat kuasa bermula 26 April hingga 6 Mei ini melibatkan 22 jenis barangan terdiri daripada kategori hasil laut, bahan kering, sayuran dan daging.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaannya dijalankan tujuh hari sebelum, semasa dan tiga hari selepas perayaan sebagai langkah menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran.

Katanya, untuk daging ialah daging lembu tempatan (kecuali bahagian batang pinang), daging lembu import (harga maksimum di Sarawak sahaja), daging kerbau import (harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan Labuan sahaja).

“Seterusnya hasil laut iaitu ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara lapan ekor hingga 12 ekor setiap kilogram), ikan selayang (berat antara lapan ekor hingga 12 ekor setiap kilogram), ikan aya, tongkol (berat antara satu hingga dua ekor setiap kilogram) dan ikan demudok, sagai, cermin, cupak (Sabah sahaja).

“Barangan lain ialah tomato, cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), kacang panjang, terung panjang, timun, halia tua import, bawang merah besar import, bawang besar holland dan bawang putih (China),” katanya pada pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan HRP 2022 di sini hari ini.

Ujarnya, lain-lain barangan dalam senarai tersebut ialah ubi kentang import (China), cili kering, kacang tanah, kelapa biji (borong sahaja) dan kelapa parut (runcit sahaja).

Berhubung ayam dan telur, Alexander berkata, pada 5 Februari lalu, kementerian telah melaksanakan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam dan sedang berkuat kuasa sehingga 5 Jun ini sebagai langkah menstabilkan harga produk tersebut selain memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import.

Sementara itu, Alexander berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim dan mereka yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Untuk kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun maksimum RM10,000. -KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI