SEREMBAN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun diselamatkan selepas dipercayai menjadi mangsa dera ibu tirinya yang merupakan warga Indonesia di Sikamat di sini pada Isnin lalu.
Kejadian malang yang menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu terbongkar selepas jiran mangsa membuat aduan kepada pertuduhan bukan kerajaan (NGO) mengenai nasib yang menimpa mangsa.
Satu sumber berkata, pemeriksaan awal mendapati, mangsa mengalami kecederaan di mulut selain kesan lebam di mata serta badan dipercayai dipukul dengan tangan.
“Selain kecederaan baharu, terdapat parut pada belakang tubuh kanak-kanak tersebut dan siasatan lanjut mengenainya sedang dijalankan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut sumber itu, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama bapa kandung, ibu tiri serta dua adiknya di rumah berkenaan.

Susulan kejadian itu, polis memberkas ibu tiri suspek yang berusia 30 tahun petang kelmarin bagi membantu siasatan kes tersebut.
Hasil soal siasat, wanita asing tersebut mendakwa dia memukul anak tirinya itu bertujuan untuk ‘mengajar’ mangsa kerana perbuatannya mencuri gula-gula atau lolipop dari sebuah premis.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Rosnah Sardi memberitahu, mangsa yang diselamatkan kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Muhammad Izzudin Runggai mengesahkan kejadian tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
















