BULAN Ramadan merupakan bulan turunnya kitab suci al-Quran, di mana peristiwa tersebut dikenali sebagai Nuzul al-Quran.
Perkataan nuzul membawa maksud turun atau berpindah dari atas ke bawah dan peristiwa Nuzul al-Quran merujuk kepada peristiwa turunnya ayat pertama al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW sehinggalah ia menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini.
Peristiwa tersebut berlaku pada malam 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos 610 Masihi, ketika baginda Rasulullah berusia 40 tahun.
Menurut sebahagian ahli sejarah, ketika itu, Nabi Muhammad SAW sedang mengasingkan diri di sebuah gua dikenali sebagai Gua Hira atau Hira’ dalam sebutan bahasa Arab.
Gua Hira terletak di atas sebuah bukit dikenali sebagai Jabal Nur yang terletak di wilayah Hijaz, Arab Saudi.
Setiap kali mengunjungi Tanah Suci Mekah, lawatan ke Gua Hira merupakan antara acara paling dinanti-nantikan jemaah umrah atau haji kerana ingin menghayati pengorbanan Rasulullah dan mengenang peristiwa penerimaan wahyu di gua tersebut.

Biarpun tidak terlalu tinggi, namun, untuk mendaki bukit setinggi 270 meter yang kering dan berbatu itu memerlukan kekuatan mental dan fizikal.
Gua Hira terkenal sebagai tempat di mana Nabi Muhammad menerima wahyu pertama daripada Allah SWT menerusi malaikat Jibril A.S. yang merangkul baginda dengan kuat serta berkata iqra’ yang bermaksud (bacalah).
Maka, gua yang menjadi saksi peristiwa penurunan al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW itu merupakan satu peristiwa paling bersejarah dan memberi makna yang cukup besar kepada umat Islam di seluruh dunia.
Gua kecil itulah yang menjadi tempat baginda Rasulullah selalu menyendiri dan bermunajat kepada Allah SWT selama tiga tahun, bagi menghindari masyarakat Arab Jahiliyah yang pada saat itu sering melakukan maksiat dan dosa-dosa besar.
Menurut seorang mutawif yang sering membawa jemaah umrah ke Gua Hira, Muhammad Hasif Kamal, 23, gua tersebut cukup istimewa kerana merupakan lokasi penurunan wahyu pertama sekali gus menjadi lokasi di mana agama Islam bermula.
Penurunan wahyu tersebut turut memberi maksud pelantikan Nabi Muhammad sebagai Rasul sekali gus bermulanya tugas menyampaikan dakwah Islam kepada umat manusia.
“Di Gua Hira, Rasulllah SAW menerima wahyu pertama apabila didatangi Jibril yang mengajar baginda membaca lima ayat pertama surah Al-Alaq: “Bacalah dengan menyebut nama Tuhan yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahui.”
“Gua ini merupakan lokasi yang cukup bermakna sementelahan ia menjadi lokasi baginda bertahannuth iaitu mengasingkan diri untuk beribadah selama tiga tahun sebelum dibangkitkan menjadi Rasul,” ujarnya yang juga merupakan seorang penuntut di Universiti Islam Madinah kepada K2.
Tambah Muhammad Hasif, gua itu tidaklah mempunyai karamah atau keajaiban tertentu, namun ia dianggap cukup istimewa kerana lokasinya yang cukup terpencil menunjukkan kehebatan Allah SWT dalam melahirkan seorang manusia sempurna, terpuji dan hebat iaitu Nabi Muhammad SAW.
“Pengunjung lazimnya mahu melawat Gua Hira kerana mereka mahu merasai sendiri perjalanan Rasulullah yang beribadah dan menyendiri di gua ini.
“Untuk ke gua ini waktu disarankan adalah pada waktu malam sebab gua ini dikenali sebagai gua bercahaya, jadi kalau mahu nampak cahaya itu, pengunjung perlulah datang pada waktu malam,” katanya.

Bercerita mengenai bahagian dalam gua itu, Muhammad Hasif berkata, di dalamnya gelap dan sempit dengan tingginya cuma sekitar dua meter.
“Di dalamnya hanya boleh memuatkan dua orang untuk solat, itupun kalau saiz tubuh tidak besar, jika besar, muat seorang sahaja.
“Menariknya juga gua ini memang sudah sedia menghadap Kaabah, jadi tidak perlu cari kiblat,” katanya.
Jarak antara Gua Hira dengan Kaabah di Masjidilharam adalah kira-kira enam kilometer. Saiz gua itu pula adalah kecil di mana ia mempunyai kepanjangan sekitar tiga meter, manakala lebarnya pula sekitar satu setengah meter.
Menurut Muhammad Hasif, bagi menuju Gua Hira, terdapat anak tangga yang menghubungkan kampung terakhir dengan puncak Jabal Nur.
Biarpun mempunyai anak tangga, orang ramai khususnya yang tidak biasa dengan aktiviti fizikal tidak disarankan untuk terus mendaki ke atas puncak.

Penduduk sekitar menyarankan, sebaiknya, luangkan masa dengan berhenti seketika untuk mengambil nafas dan berehat di kawasan rehat berbentuk gazebo yang disediakan di kawasan pendakian.
Pendakian Gua Hira lazimnya memakan waktu sekitar dua jam, bergantung kepada kemampuan fizikal seseorang.
“Biarpun sekarang ada anak tangga, pendakian memang memerlukan tenaga. Sebaiknya jangan paksa jika tidak larat.
“Tak terbayang keperitan Rasulullah dan kesungguhan isteri baginda, Saidatina Khadijah yang pada ketika itu berusia 50-an turun naik dua kali sehari untuk menghantar makanan,” katanya.
Berkongsi perasaan ketika mendaki gua tersebut, pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew menerusi satu ciapan hujung tahun lalu menceritakan pengalaman ke Gua Hira yang cukup menginsafkan.
“Ketika menaiki Gua Hira, saya melihat ke bawah. Jika dahulu, Mekah cumalah batu-batu. Pengorbanan, tangisan air mata darah Nabi SAW dan keluarga baginda serta para sahabat, segalanya dikorbankan demi hidayah sampai pada kita semua. Terfikir macam manalah dahulu Nabi SAW berdakwah. Syukur dapat naik Gua Hira. Selepas itu, berpeluang makan malam depan Jabal Rahmah.
“Saya doakan sahabat semua Allah pilih dan sampaikan ke sini,” tulisnya.














